BERDASARKAN CSS H1 2024 dijalankan PropertyGuru Malaysia permintaan tinggi berterusan untuk perumahan mampu milik.
BERDASARKAN CSS H1 2024 dijalankan PropertyGuru Malaysia permintaan tinggi berterusan untuk perumahan mampu milik.

GOLONGAN berpendapatan rendah dan generasi muda di Malaysia merancang untuk membeli rumah bernilai RM400,000 atau kurang dalam tempoh dua tahun akan datang.

Berdasarkan Kajian Sentimen Pengguna (CSS) H1 2024 yang dijalankan PropertyGuru Malaysia, ia mendedahkan bahawa 30 peratus responden merancang untuk membeli hartanah dalam tempoh dua tahun akan datang apabila 60 peratus daripada kumpulan ini mempertimbangkan untuk membeli rumah bernilai RM400,000 atau kurang.

Pengurus Negara, PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez berkata, kajian itu menyerlahkan permintaan tinggi berterusan untuk perumahan mampu milik, terutamanya dalam kalangan pekerja berpendapatan rendah dan keluarga muda.

"Bagaimanapun, adalah penting untuk diingat bahawa Pandangan Pasaran Hartanah Malaysia PropertyGuru 2024 menunjukkan penurunan suku kepada suku sebanyak 7.4 peratus dalam Indeks Permintaan Jualan pada Q4 2023.

"Ini menunjukkan bahawa walaupun niat untuk membeli ada, tetapi pelaksanaannya mungkin terjejas oleh pelbagai faktor seperti ketidakpastian ekonomi dan kenaikan kadar faedah," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, kajian itu juga menunjukkan 60 peratus responden bersetuju bahawa peningkatan kadar cukai perkhidmatan, seperti yang diperkenalkan dalam Belanjawan 2024, akan mempengaruhi kos pembelian hartanah.

"Ini akan menyebabkan pembeli menjadi lebih peka terhadap harga dan berhati-hati dalam keputusan pembelian mereka.

"Selain itu, harga yang tinggi telah mengalih minat pembeli ke arah pasaran sewa. Trend sewa telah mengekalkan permintaan yang kuat sepanjang 2023 dan dijangka meningkat dalam tempoh yang terdekat," katanya.

Katanya, selain kebimbangan kewangan, bakal pembeli rumah menyatakan kebimbangan mengenai kelewatan pembinaan projek (65 peratus) dan kualiti pembinaan rendah (64 peratus) apabila mempertimbangkan hartanah yang baru dilancarkan.

"Berdasarkan penemuan kajian, terdapat permintaan tinggi untuk hartanah bawah RM400,000.

"Ia memberi penekanan bahawa terdapat keperluan bagi pemaju melancarkan lebih banyak pilihan perumahan mampu milik yang disokong oleh insentif kerajaan.

"Selain itu, kerajaan perlu menilai semula skim-skim perumahan mampu milik sedia ada bagi meningkatkan keberkesanan mereka dan memastikan mereka lebih menarik dan mudah diakses," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 7:00 AM