REKAAN rumah yang luas antara ciri-ciri projek yang diingini pencari rumah.
REKAAN rumah yang luas antara ciri-ciri projek yang diingini pencari rumah.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

KAJIAN Sentimen Pengguna PropertyGuru Malaysia H2 2020 mendapati lebih ramai mencari ruang untuk berkembang ketika menilai hartanah pilihan mereka.

Turut menjadi pilihan ialah harga dan reputasi pemaju yang menjadi pertimbangan utama dalam pembelian rumah.

Selain itu, faktor ketumpatan projek rendah (61 peratus), susun atur rumah luas dan lebih banyak lif di semua tingkat (40 peratus) antara ciri-ciri projek yang paling banyak sering dinyatakan responden kajian sebagai ciri perumahan diingini.

Walaupun begitu, 42 peratus responden juga menyatakan bahawa kini mereka lebih peka terhadap harga rumah berikutan penularan pandemik Covid-19.

Ini kerana rakyat Malaysia merancang perbelanjaan secara teliti menjelang kemelesetan yang diunjurkan.

Bagi aspek pemilihan pemaju pula, rakyat Malaysia lebih cenderung untuk mementingkan reputasi iaitu sebanyak 83 peratus, diikuti portfolio projek masa lalu dan rekod prestasi tahun kebelakangan ini, masing-masing sebanyak 77 peratus, berbanding kepentingan lain seperti status penyenaraian awam syarikat.

HARGA, ruang dan reputasi pemaju yang menjadi pertimbangan utama.
HARGA, ruang dan reputasi pemaju yang menjadi pertimbangan utama.

Penemuan itu secara tidak langsung menekankan betapa perlunya syarikat hartanah tempatan menumpukan perhatian mereka dalam penawaran produk dan perkhidmatan berdasarkan nilai yang dapat menangani jurang pasaran semasa demi untuk terus kekal relevan.

Pengurus Negara, PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez berkata, perubahan pilihan pengguna dalam norma baharu seperti penekanan kepada ruang dan harga adalah disebabkan pergerakan terhad dan kehilangan pendapatan selama beberapa bulan di tengah pandemik Covid-19.

Kata beliau, dari segi pemaju, dua faktor itu biasanya saling eksklusif kerana rakaman persegi adalah komponen asas kos.

"Kajian mendapati bahawa cita rasa pencari rumah di Malaysia sudah berubah mengikut ciri-ciri yang ingin dibeli dan kami akan berkongsi dengan umum pada masa depan.

"Selepas ini, pemaju yang terjejas disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu memastikan produk mereka mengambil kira permintaan pasaran, demi mengekalkan jumlah penjualan yang sihat dan meredakan 'overhang' rumah," katanya.

Selain pertimbangan ruang dan pemaju, 63 peratus responden juga memilih pengudaraan dan pencahayaan semula jadi, infrastruktur Internet berkelajuan tinggi dan pemasangan 'Internet of Things' (IoT) (60 peratus) serta sistem penyejukan dan penjimatan tenaga pintar (53 peratus) sebagai kemudahan yang lebih penting kepada mereka selepas PKP dilaksanakan.

INSENTIF kewangan, potongan harga, pulangan tunai, kualiti kelengkapan dalaman dan kestabilan kewangan pemaju menjadi pertimbangan pencari rumah dalam menilai pemaju.
INSENTIF kewangan, potongan harga, pulangan tunai, kualiti kelengkapan dalaman dan kestabilan kewangan pemaju menjadi pertimbangan pencari rumah dalam menilai pemaju.

Aspek kemudahan kecergasan dan perniagaan bersepadu pula antara ciri-ciri projek perumahan yang paling tidak diingini 37 peratus responden.

Ia dapat dikaitkan dengan fakta bahawa banyak kemudahan sebegini tidak dapat diakses selama tempoh PKP.

Manakala dari segi lokasi, kesan penularan pandemik Covid-19 secara tempatan pada corak pencarian hartanah adalah kecil, dengan hanya 20 peratus responden menyatakan bahawa mereka akan mengelakkan zon merah atau unit hartanah yang diletakkan di bawah langkah PKP diperketatkan.

Mengulas lanjut, Fernandez berkata, Kajian Sentimen Pengguna PropertyGuru Malaysia juga menunjukkan bahawa rakyat Malaysia kurang memberi perhatian kepada jenama dalam proses pembelian hartanah mereka.

"Mereka lebih mempertimbangkan unit hartanah daripada pemaju lain, selagi pemaju berkenaan dapat membekalkan ciri-ciri dan harga diinginkan," katanya.

Dalam memanfaatkan jangkauan PropertyGuru sebagai laman web hartanah terbesar di Malaysia, kajian itu turut mendapati bahawa reputasi pemaju, portfolio dan rekod prestasi lebih penting daripada status penyenaraian awam syarikat kepada pencari rumah.

Ia terbukti apabila hanya 31 peratus responden masih mengutamakan syarikat tersenarai awam ketika mencari unit hartanah.

Pencari rumah lebih muda dan golongan yang tinggal bersama ibu bapa adalah terkecuali daripada dapatan kajian itu, justeru demografinya masih mengutamakan syarikat tersenarai awam.

HANYA 31 peratus responden masih mengutamakan syarikat tersenarai awam ketika mencari unit hartanah.
HANYA 31 peratus responden masih mengutamakan syarikat tersenarai awam ketika mencari unit hartanah.

Selain itu, kepentingan reputasi pemaju kepada pencari rumah antara faktor PropertyGuru memperkenalkan inisiatif seperti Asia Property Awards yang terkemuka dalam industri bagi menerapkan kriteria ketat dalam mengiktirafkan pemaju hartanah domestik dan pencapaian mereka.

Tahun ini, semua pemenang dan penerima anugerah diumumkan secara atas talian pada hari ini.

Sementara itu, menurut kajian sama, terdapat beberapa faktor lain yang menjadi pertimbangan pencari rumah dalam menilai pemaju.

Antaranya, insentif kewangan, potongan harga dan pulangan tunai yang ditawarkan iaitu sebanyak 68 peratus, kualiti kelengkapan dalaman yang disediakan (66 peratus) dan kestabilan kewangan pemaju, 58 peratus.

Fernandez berkata, ia adalah keperluan pemaju untuk mengubah pendekatan mereka terutama ketika cadangan untuk cukai pengosongan dan kawalan sewa dan harga baharu sahaja dikemukakan selain kesan PKP terhadap jumlah penjualan serta aliran tunai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2020 @ 7:00 AM