HARGA hartanah yang tinggi dorong ramai bakal pembeli beralih minat kepada pasaran sewa.
HARGA hartanah yang tinggi dorong ramai bakal pembeli beralih minat kepada pasaran sewa.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

[email protected].

HARGA hartanah di negara ini yang tinggi mendorong ramai bakal pembeli beralih minat kepada pasaran sewa.

Trend sewa dikatakan kekal mempunyai permintaan yang kuat sepanjang tahun lalu dan dijangka meningkat dalam tempoh terdekat.

Pengurus Negara, PropertyGuru Malaysia (PropertyGuru.com.my dan iProperty.com.my), Sheldon Fernandez berkata, apabila pasaran berkembang, adalah penting bagi pemain industri untuk memahami keutamaan dan trend pengguna semasa.

Katanya, ia akan membolehkan mereka menyesuaikan tawaran hartanah mereka dan menyumbang kepada pembangunan perumahan mampu milik untuk rakyat negara ini.

"Kajian kami (Kajian Sentimen Pengguna (CSS) H1 2024) menunjukkan 60 peratus daripada responden bersetuju bahawa peningkatan kadar cukai perkhidmatan seperti yang diperkenalkan dalam Bajet 2024 mempengaruhi kos pembelian hartanah.

"Ini menyebabkan pembeli menjadi lebih peka terhadap harga dan berhati-hati dalam keputusan pembelian mereka," katanya.

Mengulas lanjut, Fernandez berkata, daripada kajian sama didapati separuh daripada responden bercadang membeli rumah selepas satu tahun atau mereka yang tidak mempunyai niat membeli, mempunyai rancangan untuk menyewa pada masa depan.

Keadaan itu popular dalam kalangan generasi muda Malaysia hari ini.

Katanya, di antara mereka yang bercadang untuk menyewa, 69 peratus memperuntukkan RM1,500 atau kurang bagi bajet sewa bulanan.

"Lebih daripada 90 peratus penyewa semasa membayar jumlah yang sama dan 35 peratus daripada mereka yang berpendapatan rendah membayar kurang dari RM500 sebulan.

"Sebanyak 29 peratus penyewa semasa mempertimbangkan untuk meneruskan tempoh sewa mereka sehingga dua tahun sebelum membeli rumah.

"Jadi, adalah penting bagi kerajaan untuk mengetahui bahawa penyewa juga menghadapi cabaran mencari perumahan dalam lingkungan bajet mereka," katanya.

Dalam pada itu, kajian berkenaan juga mendapati bahawa minat kepada pasaran sewa dipengaruhi pelbagai faktor seperti simpanan yang tidak mencukupi untuk membeli hartanah, peningkatan harga hartanah dan tiada keperluan segera untuk membeli hartanah.

Katanya, apabila membicarakan mengenai harapan pengawalseliaan sekitar pasaran sewa, lebih separuh daripada responden menyokong penyertaan skim sewa beli (RTO) dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12.

Skim itu membolehkan penyewa membina ekuiti dari semasa ke semasa dan pada akhirnya memiliki hartanah bagi yang tidak mampu menanggung kos pendahuluan.

"Berdasarkan penemuan kajian, adalah jelas bahawa kerajaan dan pemaju mempunyai peranan penting dalam memenuhi keperluan pengguna hartanah yang sedang berubah di Malaysia.

"Permintaan yang besar untuk hartanah bawah RM400,000 menekankan keperluan bagi pemaju melancarkan lebih banyak pilihan perumahan mampu milik yang disokong insentif kerajaan," katanya.

MINAT kepada pasaran sewa dipengaruhi pelbagai faktor.
MINAT kepada pasaran sewa dipengaruhi pelbagai faktor.

Selain itu, kerajaan juga perlu menilai semula skim perumahan mampu milik sedia ada bagi meningkatkan keberkesanan dan memastikan ia lebih menarik dan mudah diakses.

Kata Fernandez, ia juga boleh menggalakkan lebih banyak bakal pembeli rumah untuk memohon.

"Dengan kelestarian menjadi faktor utama dalam keputusan pembelian, pemaju digalakkan menyertakan lebih banyak ciri-ciri hijau pada projek mereka.

"Pada masa sama, kerajaan perlu mempertimbangkan insentif cukai kelestarian bagi menggalakkan penyertaan lebih banyak pemaju.

"Penemuan ini menyediakan asas bagi membentuk pasaran hartanah yang lebih inklusif dan mampan di negara ini," katanya.

Sementara itu, Kajian Sentimen Pengguna (CSS) H1 2024 mendedahkan bahawa 30 peratus daripada responden merancang membeli hartanah dalam tempoh dua tahun akan datang.

Dalam kalangan kumpulan itu, 60 peratus mempertimbangkan untuk membeli rumah bernilai RM400,000 atau kurang, terutama golongan berpendapatan rendah dan generasi muda di Malaysia.

Ia menunjukkan bahawa walaupun niat untuk membeli ada, tetapi pelaksanaannya mungkin terjejas disebabkan pelbagai faktor seperti ketidakpastian ekonomi dan kenaikan kadar faedah.

"Selain kebimbangan kewangan, bakal pembeli rumah turut menyatakan kebimbangan mengenai kelewatan pembinaan projek (65 peratus) dan kualiti pembinaan rendah (64 peratus) apabila mempertimbangkan hartanah yang baru dilancarkan.

"Kebimbangan itu menonjolkan kepentingan pengurusan projek dan kawalan kualiti serta keperluan pemaju hartanah untuk menangani isu berkaitan bagi menarik perhatian bakal pembeli rumah," katanya.

Dalam pada itu, menurut Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), sebanyak 481 projek sakit dan 112 projek terbengkalai dikenal pasti di seluruh negara hingga Jun tahun lalu.

Justeru kata Fernandez, tidak menghairankan apabila 66 peratus daripada responden menuntut penguatkuasaan yang lebih baik oleh pihak berkuasa bagi memastikan pematuhan tertinggi ketika tempoh liabiliti kecacatan (DLP).

"Demikian juga, 66 peratus menyatakan keperluan untuk penubuhan Dana Jaminan Pemaju bagi melindungi pembeli daripada kehilangan dana disebabkan kebankrapan atau aktiviti penipuan oleh pemaju.

"Penemuan itu menegaskan kepentingan dasar perumahan yang lebih kuat untuk melindungi kepentingan pembeli dan meningkatkan keyakinan dalam pasaran hartanah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2024 @ 7:00 AM