GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Kuala Lumpur: Boost terus meluaskan penyelesaian PayLater patuh Syariah, Boost PayFlexTM, kepada semua transaksi dalam aplikasi, di samping pembayaran kod QR.

Menerusi penyelesaian inovatif ini, pengguna dengan akaun Premium Wallet di aplikasi Boost, boleh menikmati akses lebih meluas kepada saluran kredit terkawal patuh Syariah.

Saluran kredit itu boleh digunakan untuk melanjutkan tempoh pembayaran menjadi ansuran sehingga tiga bulan di lebih 1.8 juta peniaga DuitNow QR di Malaysia.

Ia juga boleh digunakan untuk menambah baki e-dompet, yang akan membolehkan pilihan PayLater bagi segala transaksi dalam aplikasi Boost, termasuk pengurusan bil, beli-belah dalam talian atau penghantaran makanan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Group CEO) Boost, Sheyantha Abeykoon berkata, pihaknya kekal teguh dengan komitmen untuk memenuhi permintaan pasaran dan memacu keterangkuman kewangan yang lebih luas menerusi ekosistem fintech yang kukuh.

"Pengalaman pembiayaan kami selama bertahun-tahun memperkasakan kami untuk kekal sebagai peneraju inovasi yang mengamalkan pembiayaan bertanggungjawab.

"Selepas menyediakan kemudahan pembiayaan mikro kepada PMKS, kami kini mengembangkan lagi kemudahan ini kepada lebih ramai pengguna, agar rakyat Malaysia memiliki fleksibiliti kewangan yang lebih menyeluruh," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, sebagai peneraju fintech yang dikawal selia, Boost memastikan kemudahan kreditnya ditawarkan secara bertanggungjawab, dengan memperibadikan saluran kredit berdasarkan penilaian kemampuan setiap pengguna.

Selain itu, sebagai produk patuh Syariah berdasarkan konsep Murabahah Komoditi, perjalanan pengguna Boost PayFlexTM direka untuk memberi penjelasan yang telus bagi semua caj.

Untuk ansurans tiga bulan, terdapat fi wakalah sebanyak RM10 bagi setiap transaksi dan kadar keuntungan 2.5 peratus sebulan.

Bagi pilihan 30 hari, terdapat fi wakalah sekali-bayar sehingga RM10 bagi setiap transaksi, tanpa kadar keuntungan.

Pengguna juga akan dimaklumkan lebih awal dan diberi peringatan membabitkan tempoh bayaran balik, bersama-sama dengan caj lewat sebanyak 1.0 peratus setahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2024 @ 8:50 AM