Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Boost, Sheyantha Abeykoon.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Boost, Sheyantha Abeykoon.

Kuala Lumpur: Boost, cabang fintech Axiata mengumumkan pelancaran Merchant B2B Wallet, tawaran revolusi dalam pasaran yang menyediakan pemilik perniagaan had dompet sehingga RM500,000, dengan kelulusan lesen di bawah lesen e-wang semasanya daripada Bank Negara Malaysia (BNM).

Merchant B2B Wallet ini disepadukan ke dalam aplikasi Boost Biz sedia ada dengan fungsi pembayaran kod QR yang akan membolehkan peniaga mendigitalkan lagi perniagaan mereka bersama-sama dengan transaksi yang dipermudahkan.

Selain daripada had dompet Merchant B2B Wallet yang lebih besar, peniaga akan menikmati ciri 'Penyelesaian dan Pembayaran Segera' baharu yang membolehkan akses segera kepada wang tunai selepas menerima resit dan menghapuskan masa menunggu pelaksanaan penyelesaian, yang kebiasaannya dijelaskan atau diselesaikan pada hari bekerja berikutnya. Peniaga juga kini boleh membayar secara serta-merta perbelanjaan perniagaan mereka seperti bil utiliti dan invois pembekal menerusi aplikasi Boost Biz itu sendiri sejurus menerima pembayaran daripada pelanggan masing-masing.

Pengeluaran tunai juga bakal menjadi sebuah pengalaman yang lancar kerana peniaga berhak memilih permintaan pengeluaran ke dalam akaun bank semasa mereka yang mana ia akan dinyatakan pada hari perniagaan berikutnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Boost, Sheyantha Abeykoon berkata, pihaknya sangat teruja kerana visi untuk membina ekosistem yang membolehkan peniaga berurus niaga dengan lebih lancar merentasi rantaian bekalan B2B telah membuahkan hasil.

"Dengan kelulusan daripada BNM baru-baru ini untuk Merchant B2B Wallet, kami akan meneruskan usaha untuk memperkasakan lagi perniagaan secara digital, terutamanya dalam kalangan komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan melalui penyelesaian fintech inovatif yang unik kepada Boost," katanya.

"Kami berharap Langkah ini juga dapat menyumbang secara positif kepada ekonomi negara dengan memperjuangkan masyarakat yang dipacu secara digital dan memacu transformasi digital untuk perniagaan dari semua saiz tanpa sebarang halangan," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Boost Biz, Eric Chong berkata, pihaknya mahu memberikan pedagang akses kepada teknologi canggih dan penyelesaian yang mudah dalam aplikasi Boost Biz.

"Melangkah ke hadapan, peniaga kami boleh menjimatkan masa untuk membuat pelbagai pembayaran bil berkaitan perniagaan melalui variasi platform dan meluangkan lebih banyak masa untuk fokus dalam membina operasi perniagaan mereka. Dengan pelancaran Merchant B2B Wallet, ia seterusnya menandakan bahawa Boost ialah satu-satunya aplikasi yang anda perlukan untuk memudahkan lagi perniagaan anda," katanya.

Terdapat dua jenis dompet yang ditawarkan dalam aplikasi Boost Biz yang menyasarkan segmen pedagang yang berbeza: Pedagang Individu dan Langsung.

Bagi Pedagang Individu yang mendaftar menggunakan kad pengenalan, mereka akan mempunyai akses kepada saiz Merchant B2B Wallet sebanyak RM30,000, manakala bagi Pedagang Langsung yang mendaftar menggunakan Nombor Pendaftaran Perniagaan, mereka akan mempunyai akses kepada saiz Merchant B2B Wallet yang dipertingkatkan iaitu sebanyak RM500,000.

Merchant B2B Wallet boleh digunakan untuk menyediakan dan memudahkan transaksi antara peruncit perniagaan, ejen dan pengedar dalam ekosistem rantaian bekalan borong, memacu langkah keselamatan dan ia lebih cekap.

Saiz Merchant B2B Wallet juga membolehkan peniaga melakukan transaksi dalam jumlah yang lebih besar di mana ia kemudiannya menggalakkan transaksi tanpa tunai dalam kalangan perniagaan, mikro, perusahaan kecil dan besar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2023 @ 3:39 PM