Pengerusi Eksekutif LBS Bina Group, Tan Sri Lim Hock San. - FOTO NSTP
Pengerusi Eksekutif LBS Bina Group, Tan Sri Lim Hock San. - FOTO NSTP
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Petaling Jaya: Pemaju perumahan dan hartanah, LBS Bina Group Berhad (LBS) menjangkakan tahun 2024 akan lebih positif dengan sasaran jualan hartanah kumpulan itu sebanyak RM1.8 bilion.

Ia susulan LBS mengakhiri tahun 2023 dengan RM1.701 bilion jualan hartanah.

Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Ir Lim Hock San berkata, pihaknya merancang untuk melancarkan 10 projek baharu di Lembah Klang, Pahang dan Johor pada tahun ini.

Katanya, ia merangkumi 4,858 unit kediaman dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2.33 bilion.

"Bagi kawasan Lembah Klang, LBS akan menumpukan kepada pelancaran 2,960 unit hartanah dengan GDV RM1.14 bilion.

"Lembah Klang secara konsisten telah memberikan hasil jualan tertinggi kepada LBS sepanjang tahun dengan purata lebih daripada 80 peratus.

"Daripada 2,960 unit ini, LBS turut merancang untuk melancarkan sejumlah 1,048 unit dengan GDV RM303 juta di Idaman Perdana, yang terletak di perbandaran LBS Alam Perdana," katanya pada sesi taklimat media LBS 2024 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hock San berkata, LBS akan bekerjasama dengan syarikat pembinaannya, MGB Berhad, bagi melancarkan 413 unit pangsapuri Rumah Idaman MBI, 79 unit rumah teres dua tingkat di Astella dan 999 unit pangsapuri servis SkyRia di D'Island Residence.

"LBS turut merancang untuk melancarkan sejumlah 421 unit terdiri daripada pangsapuri dan rumah bandar di Bandar Saujana Putra, dengan GDV RM205 juta," katanya.

Katanya, di Pahang, pelancaran projek baharu termasuklah 642 unit pangsapuri perkhidmatan Bayu Hills dan 66 unit banglo Rimbawan Acacia Garden di Genting Highlands.

"LBS juga merancang untuk melancarkan pembangunan bercampur terbesar di rantau ini yang bakal menampilkan unit-unit pangsapuri perkhidmatan dan penawaran unit komersial yang terbesar di Centrum Iris, Cameron Centrum, Cameron Highlands," katanya.

Menurutnya, LBS juga akan melancarkan kediaman di Johor yang terdiri daripada 63 rumah berkembar dua tingkat di Imperial Garden, Bandar Putera Indah, Batu Pahat dengan GDV sebanyak RM43 juta.

"Pelancaran itu turut melibatkan projek Pangsapuri Saujana Indah di Taman Molek, yang terdiri daripada 393 unit dengan GDV RM177 juta," katanya.

Hock San berkata, sebagai pemaju yang mengutamakan rakyat, pihaknya juga mengintai beberapa peluang sekali gus berusaha untuk melancarkan hartanah dengan jumlah GDV bernilai RM2.33 bilion di beberapa negeri.

"Kami menjangkakan landskap pasaran hartanah yang positif di 2024 dan akan terus mengutamakan tiga teras utama LBS iaitu mampu milik, ketersambungan dan komuniti.

"Kami akan terus menilai dan melaksanakan strategi yang sesuai demi memastikan operasi berjalan lancar dan terus kekal optimistik terhadap prospek pertumbuhan syarikat di tahun 2024," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2024 @ 3:43 PM