Petaling Jaya: LBS Bina Group Berhad (LBS) menyasarkan pencapaian jualan bernilai RM6 bilion bagi semua projeknya dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Pengarah Urusannya, Datuk Seri Lim Hock San berkata, LBS mengunjurkan jualan RM1 bilion tahun ini terutama disumbangkan menerusi projek di sekitar Lembah Klang.

Katanya, LBS melancarkan 12 projek sepanjang 2015 termasuk projek baru di Bandar Saujana Putra, D’Island Residence, Cameron Highland dan Batu Pahat.

“Dengan pelancaran projek yang bersesuaian dengan permintaan pembeli, LBS mencapai jualan yang tinggi RM234 juta pada suku pertama tahun ini iaitu peningkatan 38 peratus berbanding tempoh sama 2014.

“Kami yakin dengan pelancaran pembangunan baru LBS ini bakal mendapat sambutan baik, sekali gus menunjukkan komitmen kami dalam meneruskan sumbangan kepada ekonomi dan pembangunan sosial Malaysia,” katanya pada taklimat media di sini, semalam.

Menurutnya, setakat ini LBS mempunyai 1,088.7 hektar bank tanah di seluruh negara dengan nilai pembangunan kasar (GDV) bagi masa depan dianggarkan RM22.5 bilion.

Lim berkata, antara projek menarik yang dilancarkan tahun ini adalah BSP Village, pangsapuri servis BSP21 di Bandar Saujana Putra, rumah berkembar Corallia dan kondominium SkyVilla D’Island Residence.

“Semua projek ini menawarkan 2,600 unit dengan GDV bernilai RM1.7 bilion. Untuk jangkaan projek untuk 2016, LBS melancarkan 4,000 unit kediaman di Selangor, Pahang dan Johor dengan GDV RM2 bilion dan diikuti pelancaran 5,100 unit GDV RM2.2 bilion menjelang 2017,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya memfokus pembinaan rumah bagi golongan sasaran berpendapatan sederhana.

Beliau turut mengulas mengenai kesan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) terhadap sektor hartanah dan menyatakan bahawa sebenarnya cukai 6.0 peratus itu tidak terlalu memberi impak kepada hartanah terutama bagi unit kediaman.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2015 @ 5:18 AM