BERNAMA

Kuala Lumpur: Platform kewangan digital untuk perusahaan kecil dan sederhana, Funding Societies Malaysia Digital menyasarkan pengagihan pembiayaan sekurang-kurangnya RM100 juta menjelang akhir tahun ini menerusi produk pembiayaan Islam termasuk Pembiayaan Perniagaan-i, Pembiayaan Mikro-i dan Pembiayaan Invois-i.

Ketua Negara Funding Societies Malaysia Chai Kien Poon berkata rangkaian penyelesaian pembiayaan patuh Syariah itu bertujuan membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Malaysia yang layak kemudahan kredit dan kurang mendapat perhatian untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka.

"Penyelesaian pembiayaan Islam ini terbuka kepada PMKS yang layak dengan aktiviti utamanya patuh Syariah. Rangkaian produk Pembiayaan Perdagangan Islam-i kami bukan hanya untuk pemilik perniagaan Muslim, tetapi sesiapa sahaja selagi amalan perniagaan mereka patuh Syariah.

"Pasukan kami akan menjalankan saringan Syariah bagi memastikan hasil diperoleh digunakan untuk keperluan modal kerja am patuh Syariah dan tujuan perniagaan," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran penyelesaian pembiayaan Islam berkenaan di sini, hari ini.

Beliau juga menyifatkan pelancaran pembiayaan itu sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk terus menerajui kewangan Islam serta memberi tumpuan terhadap ekonomi digital dan teknologi kewangan (fintech) Islam.

Jelasnya, Pembiayaan Mikro-i dan Pembiayaan Berkala Perniagaan-i khusus untuk memberi kemudahan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan rangsangan jangka pendek ke atas modal kerja mereka sehingga 18 bulan tanpa cagaran.

Di bawah Pembiayaan Mikro-i, PMKS boleh memohon sehingga RM200,000 dan dana itu dapat diagihkan dalam tempoh lima hari dari tarikh permohonan yang berjaya.

Untuk layak, PMKS perlu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebagai pemilik tunggal, perkongsian atau syarikat sendirian berhad dan telah beroperasi selama enam bulan selain mempunyai minimum 30 peratus pegangan saham tempatan oleh rakyat Malaysia dan pendapatan tahunan sekurang-kurangnya RM60,000.

Pembiayaan Berkala Perniagaan-i pula memberi PKS suntikan modal sehingga RM500,000 dan untuk mereka yang berdaftar dengan SSM, beroperasi sekurang-kurangnya setahun dan mampu menjana pendapatan tahunan minimum RM1 juta.

Selain itu, Pembiayaan Invois-i pula khusus bagi menukar invois kepada pendahuluan tunai dan membolehkan PKS menguruskan aliran tunai dengan lebih baik.

Bagi kemudahan Pembiayaan Invois-i itu, Funding Societies menawarkan Akaun Pembiayaan Pesanan Pembelian dan Akaun Pendahuluan Tunai terhadap invois.

Menurut Chai, PKS boleh menerima tunai segera menerusi pesanan pembelian Akaun Pendahuluan Tunai terhadap invois dengan PKS menerima pembiayaan sehingga RM1 juta.

Mereka juga boleh membiayai sehingga 100 peratus daripada nilai invois dalam tempoh 120 hari dan produk berkenaan adakah khusus untuk pembeli.

Bagi Akaun Pendahuluan Tunai Terhadap Invois membabitkan pembiayaan sehingga 80 peratus daripada nilai invois, tertakluk kepada kredit RM1 juta dan tempoh pembiayaan adalah 120 hari dan kemudahan ini khusus untuk penjual, katanya.

Pembiayaan Invois-i boleh dimohon oleh pemilikan tunggal, perkongsian, perkongsian liabiliti terhad, syarikat sendirian berhad, syarikat awam tidak tersenarai atau syarikat tersenarai awam dan anak syarikatnya yang berdaftar dengan SSM.

Funding Societies turut menawarkan produk pelaburan patuh Syariah dalam usaha menawarkan kepelbagaian.

"Kami menyaksikan permintaan memberangsangkan daripada para pelabur runcit, individu kaya serta institusi dan berharap untuk bekerjasama dengan institusi-institusi kewangan bagi menawarkan pelaburan patuh Syariah kepada pelanggan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2023 @ 4:40 PM