ANWAR menyaksikan perjanjian usaha sama yang dimeterai oleh Suzuki (dua dari kiri) dan Ahmad Faez (kanan).
ANWAR menyaksikan perjanjian usaha sama yang dimeterai oleh Suzuki (dua dari kiri) dan Ahmad Faez (kanan).

Kuala Lumpur: Malaysia kini mempunyai jenama motosikal nasional kedua selepas Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) menerusi pelancaran AFAZ.

Ia direalisasikan melalui KMSB Motors Sdn Bhd (KMSB) yang menandatangani perjanjian usaha sama teknikal dan pembekalan bersama Suzuki Motor Corporation (SMC) Jepun.

Menurut KMSB dalam satu kenyataan, melalui perjanjian itu, Suzuki bersetuju membekalkan komponen penting untuk KMSB membangunkan motosikal AFAZ.

"Inisiatif ini adalah langkah penting dalam memangkin industri automotif dua roda negara yang merangkumi sejumlah 718,000 motosikal yang dipasarkan sepanjang 2022.

"Secara langsung ia akan menyumbang kepada keperluan kepakaran industri pembuatan tempatan, memangkin industri vendor, pertumbuhan tenaga kerja dan pembangunan program industri yang berasaskan teknologi tinggi serta kemahiran yang pastinya memberi impak yang besar kepada pembangunan negara," katanya.

Perjanjian usaha sama itu ditandatangani KMSB yang diwakili Pengerusi Eksekutif KMSB, Ahmad Faez Yahaya manakala SMC diwakili oleh Presidennya, Toshihiro Suzuki.

Majlis diadakan di Putrajaya Jumaat lalu disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti), Datuk Seri Isham Ishak dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida), Datuk Wira Arham Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, KMSB berkata, perjanjian itu juga selaras dengan pengumuman Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) oleh Perdana Menteri pada 1 September 2023.

"NIMP 2030 bakal mendorong Malaysia menjadi pemimpin global dalam pembangunan industri, memperluas jaringan domestik serta memperkuatkan rangkaian nilai global dalam sektor pembuatan.

"Malaysia berpotensi menjadi kuasa penting dalam menjayakan empat misi luas NIMP 2030 yang disokong oleh empat penggerak utama yang mengintegrasikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam memacu pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2023 @ 11:33 AM