ANWAR menyaksikan permeteraian usaha sama antara Suzuki (dua dari kiri) dan Ahmad Faez (kanan).
ANWAR menyaksikan permeteraian usaha sama antara Suzuki (dua dari kiri) dan Ahmad Faez (kanan).
Lizam Ridzuan


SELEPAS Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) pengguna di Malaysia bakal menerima satu lagi jenama tempatan dengan pelancaran AFAZ.

Ia direalisasikan menerusi KMSB Motors Sdn Bhd (KMSB) yang menandatangani perjanjian usaha sama teknikal dan pembekalan bersama Suzuki Motor Corporation (SMC) Jepun.

Menurut KMSB dalam satu kenyataan, melalui perjanjian itu, Suzuki bersetuju membekalkan komponen penting untuk KMSB membangunkan motosikal AFAZ.

Perjanjian usaha sama ditandatangani KMSB diwakili Pengerusi Eksekutif KMSB Ahmad Faez Yahaya manakala SMC diwakili Presidennya, Toshihiro Suzuki.

Majlis disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti), Datuk Seri Isham Ishak dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) Datuk Wira Arham Abdul Rahman.

AFAZ jenama yang diperkenalkan KMSB akan memimpin inovasi dan reka bentuk dalam industri motosikal dengan kepakaran penyelidikan, pembangunan, pemasaran & inovasi (RDCI) tempatan dengan fokus yang jelas terhadap kualiti, prestasi, dan inovasi.

Inisiatif ini langkah penting memangkin industri automotif dua roda negara yang merangkumi sejumlah 718,000 motosikal yang dipasarkan sepanjang 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2023 @ 6:55 AM