Zafrul. FOTO BERNAMA
Zafrul. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Peruntukan sebanyak RM200 juta dalam Belanjawan 2024 untuk memangkin Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 akan memacu transformasi industri, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Kerajaan baru-baru ini mengumumkan peruntukan sehingga 10 peratus daripada pelaburan masa depan di bawah NIMP 2030 sebagai pemangkin untuk mempercepatkan misi NIMP dengan dana permulaan 2024 berjumlah RM200 juta.

Tengku Zafrul berkata peruntukan itu akan disalurkan melalui dua dana iaitu Dana Pembangunan Perindustrian NIMP 2030 (NIDF) dan Dana Pelaburan Bersama Strategik NIMP 2030 (NIMP 2030 CoSIF).

"Kami akan membahagikannya kepada dua dana dalam bentuk geran dan geran sepadan dan dari segi sokongan untuk pembiayaan. Bagaimanapun, apa yang lebih penting, kami juga mahu memastikan kami menarik jenis pelaburan yang betul," katanya dalam program 'The Breakfast Grille' terbitan stesen radio BFM pagi ini.

NIMP 2030 telah dilancarkan pada 1 September 2023 untuk menyediakan hala tuju strategik negara bagi dasar pembangunan perindustrian di Malaysia.

Ia menetapkan enam matlamat, iaitu untuk meningkatkan kerumitan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi, meluaskan hubungan domestik, membangunkan kluster baharu dan sedia ada, menambah baik keterangkuman dan meningkatkan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Pelan perindustrian itu mencadangkan penyepaduan rantaian nilai terutamanya antara sektor jentera dan peralatan (M&E) dan sektor peranti perubatan serta antara sektor kimia dan farmaseutikal.

Mengenai farmaseutikal, ia merupakan salah satu sektor keutamaan yang disasarkan, Tengku Zafrul berkata Malaysia memainkan peranan utama dalam sektor farmaseutikal termasuk peranti perubatan.

"Kami bercakap mengenai keseluruhan ekosistem. Ramai daripada peneraju dunia dalam bidang farmaseutikal termasuk peranti perubatan berada di Malaysia termasuk Pulau Pinang dan Johor.

"Sehubungan itu, ia merupakan sumbangan besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta eksport, malah kira-kira 80 peratus daripada eksport negara adalah daripada sektor pembuatan," katanya.

Bagi kenderaan elektrik (EV) pula, kerajaan akan memperkenalkan Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik bagi mereka yang berpendapatan tahunan sebanyak RM120,000 dan ke bawah dengan rebat sehingga RM2,400 setiap pembeli di bawah skim itu untuk menggalakkan penggunaan motosikal elektrik.

Kerajaan juga merancang untuk meluaskan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 untuk perbelanjaan kemudahan pengecasan EV selama empat tahun dan potongan cukai untuk kos sewa EV untuk dua tahun lagi.

"Saya berpendapat kita perlu mendemokrasikan EV, sekarang ia lebih tertumpu kepada kumpulan berpendapatan tinggi. Di sinilah dasar EV yang betul diperlukan.

"Namun, apa yang penting juga adalah limpahan positifnya terhadap ekonomi, syarikat Malaysia dan pendapatan isi rumah," kata Tengku Zafrul.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2023 @ 1:47 PM