PKS perlu mengadaptasi kemajuan teknologi kerana perniagaan ketika ini bergerak seiring perubahan ekonomi dunia.
PKS perlu mengadaptasi kemajuan teknologi kerana perniagaan ketika ini bergerak seiring perubahan ekonomi dunia.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) berupaya menjadikan Malaysia sebagai negara peneraju dalam sektor industri berteknologi tinggi menjelang 2030.

Usaha berterusan kerajaan bagi memangkin pertumbuhan ekonomi negara sejajar dengan Ekonomi Madani harus dimanfaatkan semua pihak terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini.

Pelan itu dijangka membina ekosistem kondusif selari dengan elemen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) untuk menjadikan Malaysia lebih berdaya saing dalam menarik pelaburan, dengan kesan limpahan positif kepada ekonomi terutama bagi meningkatkan kedudukan PKS dalam rantaian nilai global dan menyediakan pekerjaan berpendapatan tinggi untuk rakyat.

Bendahari Agung Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) Datuk Koong Lin Loong berkata, NIMP 2030 dasar yang penting bagi membantu perniagaan PKS ke meneroka pasaran global.

Katanya, dengan 1.3 juta PKS di Malaysia di mana 80 peratus daripadanya usahawan mikro, pasaran di negara ini menjadi semakin kecil dan NIMP 2030 adalah dokumen penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan.

"Setiap perniagaan dan perkhidmatan di negara ini tidak boleh terlalu bergantung dengan pasaran 33 juta populasi sedia ada. Kita perlu tembusi pasaran Asean yang mempunyai populasi lebih 700 juta termasuk pasaran global.

"Bagi memastikan sektor perindustrian terus berkembang maju, kerajaan membelanjakan banyak wang namun PKS tempatan belum mencapai kemajuan seperti disasarkan.

"Sudah pasti ACCCIM sokong pelan menggerakkan ekosistem perniagaan termasuk pengenalan NIMP 2030 termasuk meningkatkan kesedaran perniagaan mengenai ketersediaan mereka mengadaptasi teknologi dan pendigitalan," katanya.

Koong berkata, tindakan pantas mesti diambil untuk mengkaji dan menangani perancangan tenaga kerja dan program pembangunan untuk menyokong sektor perindustrian ekonomi.

Menurutnya, ini termasuk bekalan tenaga mahir, adaptasi, kemahiran semula dan peningkatan kemahiran pekerja yang menjadi bukti masa depan, termasuk pengambilan bakat asing untuk menambah kumpulan tenaga kerja domestik.

NIMP 2030 turut menggunakan pendekatan berasaskan misi, tidak seperti pelan transformasi industri sebelum ini dan tiga pelan induk sejak 1986, malah dengan misi jelas yang akan merangsang bukan sahaja keseluruhan ekosistem pembuatan tetapi juga seluruh sektor perindustrian dan pembuatan negara untuk memacu transformasi dan merealisasikan wawasan Malaysia.

PENGUSAHA perlu mahir membuat padanan yang betul dengan mengeluarkan produk bagi pasaran eksport
PENGUSAHA perlu mahir membuat padanan yang betul dengan mengeluarkan produk bagi pasaran eksport

Beliau berkata, usahawan negara ini perlu dibantu, tetapi bukan dengan menumpukan pemberian geran semata-mata.

"Apabila kita cakap mengenai perniagaan, kerajaan harus ada pusat sehenti untuk menyelaraskan polisi antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri.

"Kerajaan juga perlu menyediakan fasiliti bagi mencapai NIMP 2030 kerana penting untuk PKS kita berada dalam rantaian bekalan dunia.

"PKS perlu mengadaptasi teknologi kerana perniagaan pada masa ini harus bergerak dengan pantas seiring perubahan ekonomi dunia dan jangan hanya berharap pada geran kerajaan.

"PKS tidak boleh lagi ketinggalan dan menjadikan alasan pandemik kerana semua negara bergerak maju ke hadapan, sebagai contoh Indonesia, Thailand dan Filipina," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan sudah menyediakan banyak fasiliti dan seharusnya komuniti peniaga membuka mata mereka dan mencari tahu cara untuk memanfaatkan kemudahan yang disediakan.

"Komuniti peniaga ini harus lebih peka dengan apa yang berlaku di sekeliling mereka kerana kita tidak boleh menghasilkan produk yang bukan dimahukan pengguna.

"PKS kena tahu cara dan membuat padanan yang betul dengan mengeluarkan produk bagi pasaran eksport juga.

"Kenal pasti kekuatan Malaysia sebagai hab halal dan pengiktirafan sijil halal Jakim sangat 'kuat' di serata dunia.

"Justeru, PKS menghasilkan produk dan memohon sijil halal supaya produk mereka dapat dipasarkan ke peringkat antarabangsa," katanya.

Koong berkata, bagi memastikan aspek keterangkuman, NIMP 2030 turut mewujudkan peluang bagi pertumbuhan PKS Malaysia dalam sektor pembuatan.

Menurutnya, melihat kepada data, sektor pembuatan antara penyumbang terbesar terhadap keluaran dalam negara kasar (KDNK) selepas sektor perkhidmatan (trading, eksport, import, peruncitan) dan NIMP 2030 akan membantu menyokong pertumbuhan PKS bagi sektor berkenaan.

"Secara keseluruhannya, ACCCIM menjangkakan NIMP 2030 akan memacu lebih banyak Pelaburan Langsung Dalam Negeri (DDI) dan Pelaburan Langsung Asing (FDI) di Malaysia.

"Cadangan nilai kukuh dan memfokuskan aktiviti promosi pelaburan kepada pelabur, syarikat dan sektor disasarkan boleh membantu Malaysia meningkatkan siling dan tahap seperti digariskan dalam rangka kerja Ekonomi Madani," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Disember 2023 @ 7:02 AM