TENGKU Zafrul berucap pada pelancaran NIMP 2030. FOTO Bernama
TENGKU Zafrul berucap pada pelancaran NIMP 2030. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan akan mengumumkan sebahagian daripada butiran terperinci mengenai peruntukan pelaburan bagi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dalam pengumuman Bajet 2024, yang dijadualkan pada 13 Oktober depan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, hampir 10 peratus daripada peruntukan itu adalah daripada perbelanjaan pembangunan kerajaan.

"Butiran terperinci (pelaburan), separuh daripadanya akan diumumkan dalam Belanjawan 2024 manakala separuh daripadanya sudah ada atau telah diperuntukkan sebelum ini. Kami akan jelaskan butiran terperincinya dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas pelancaran NIMP 2030, di sini, hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan komited sepenuhnya untuk menyokong pelaksanaan NIMP 2030.

Beliau berkata, NIMP 2030 akan memerlukan anggaran jumlah pelaburan sebanyak RM95 bilion sepanjang tujuh tahun pelaksanaannya, terutamanya daripada sektor swasta, yang disalurkan daripada ekuiti swasta, modal dan pasaran kewangan.

Hampir 10 peratus akan diperuntukkan oleh kerajaan untuk membantu memangkin dan memberi insentif kepada pelaburan ini menerusi Dana Pembangunan Perindustrian NIMP dan Dana Pelaburan Bersama Strategik NIMP, kata Anwar.

Tengku Zafrul berkata, perumusan NIMP 2030 melibatkan pelbagai sesi perundingan dan perbincangan dengan sekurang-kurangnya 1,000 orang termasuk pelbagai pemegang kepentingan seperti sektor swasta.

"Ia sangat dipacu secara komersial, dan seperti yang anda tahu sektor swasta akan melihat kepada daya maju pelaburan tersebut, justeru pendekatan berasaskan misi ini juga melihat kepada pulangan kepada sektor swasta. Kita perlu memastikan bahawa ia berdaya maju secara komersial dan juga menjadikannya inklusif," katanya.

Ditanya sama ada Malaysia sedang menimbang pendekatan yang lebih liberal untuk menarik pelaburan baharu, Tengku Zafrul menegaskan Malaysia komited untuk berbuat demikian selagi ia memberi kesan limpahan positif kepada ekonomi dan rakyat.

Dari segi dasar, beliau berkata, kerajaan bersedia untuk melihat kepada dasar yang progresif, yang akan menghasilkan kesan limpahan positif kepada syarikat tempatan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Apabila kita menggubal dasar, terutamanya di MITI, apa yang kita mahu lihat ialah ia dapat memberi manfaat kepada syarikat tempatan, terutamanya PKS dari segi rantaian bekalan.

"Sama seperti dalam NIMP kita berharap dapat meningkatkan status PKS kita supaya mereka boleh menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan seperti yang dikatakan oleh Perdana Menteri sebentar tadi, kita kini menyasar untuk meningkatkan lagi isi rumah daripada tahap yang ada sekarang," kata Tengku Zafrul.

Berita berkaitan:

Gaji lebih baik antara fokus NIMP 2030 - PM

NIMP 2030 perlu pelaburan RM95 bilion sepanjang 7 tahun - PM

NIMP 2030 mampu jadikan Malaysia negara peneraju industri berteknologi tinggi - Ahmad Zahid

NIMP 2030 guna pendekatan berasaskan misi - PM

NIMP 2030: Nilai tokokan pembuatan dijangka berkembang 6.5 peratus

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2023 @ 4:23 PM