BERNAMA

Kuala Lumpur: Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) menggunakan pendekatan berasaskan misi, tidak seperti pelan transformasi industri sebelum ini dan tiga pelan induk sejak 1986, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, NIMP 2030 adalah dasar dengan misi jelas yang akan merangsang bukan sahaja keseluruhan ekosistem pembuatan tetapi juga seluruh negara untuk memacu transformasi perindustrian dan merealisasikan wawasan Malaysia.

"Dengan tempoh tujuh tahun yang singkat, NIMP 2030 mesti mengambil pendekatan transformatif dan pantas untuk mencapai matlamatnya. Berdasarkan penilaian teliti dan perundingan meluas, empat misi telah dirumuskan untuk memacu transformasi industri secara besar-besaran," kata Anwar dalam ucapannya pada pelancaran NIMP 2030, di sini, hari ini.

Empat misi tersebut adalah untuk memajukan komplesiti ekonomi, menyegerakan pendigitalan, mendorong pelepasan karbon bersih-sifar, dan menjamin keselamatan ekonomi dan keterangkuman.

Misi ini akan disokong oleh empat pendaya utama untuk menangani cabaran sistemik dan institusi, katanya.

"Pendaya ini termasuk menangani cabaran pembiayaan, memupuk pembangunan dan pemerolehan tenaga kerja, menambah baik pengalaman pelabur dan meningkatkan mekanisme tadbir urus.

"Untuk memberikan dorongan kepada pelaksanaan segera NIMP, beberapa projek berasaskan misi (MBP) telah dikenal pasti," kata Perdana Menteri.

Anwar berkata projek-projek yang dijalankan ini dijangka mempercepatkan pembangunan ekosistem inklusif yang menyepadukan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ke dalam rantaian nilai dan meningkatkan keseluruhan industri.

Pelan induk baharu itu akan menyaksikan lebih banyak MBP dalam masa terdekat kerana industri dijangka dapat menerima pendekatan baharu ini serta faedahnya kepada syarikat dan limpahan yang akan dihasilkannya untuk ekonomi, katanya.

Untuk mewujudkan integrasi ekonomi yang lebih baik dengan negara jiran, beliau berkata, NIMP 2030 merancang untuk mewujudkan kerjasama yang lebih kukuh dengan mereka bagi rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan, dengan usaha mencapai integrasi industri terpilih di seluruh Asean.

"Ini menekankan kepentingan pelaburan langsung asing (FDI) memandangkan ia secara tidak langsung akan meningkatkan Pelaburan Langsung Domestik (DDI) apabila firma-firma multinasional (MNC) berpangkalan di Malaysia bertindak mendapatkan sumber produk serta perkhidmatan daripada syarikat tempatan.

"DDI yang strategik juga berpotensi untuk menarik lebih banyak FDI kerana pelabur menganggap DDI sebagai penanda aras keyakinan dan komitmen pelabur domestik ke arah memperkukuh landskap pelaburan serta perniagaan negara," kata beliau.

Perdana Menteri berkata, sejajar dengan kepentingan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta peranannya dalam mentransformasi landskap ekonomi, NIMP turut menjadikan keseluruhan bab "Push for Net Zero" (Peningkatan Sifar Bersih), sebagai sebahagian daripada misinya.

"Ini bertujuan bagi penyahkarbonan industri Malaysia untuk mencapai matlamat pelepasan sifar bersih menerusi langkah proaktif seperti pelaksanaan inisiatif cekap tenaga dan pengurusan sisa, penggunaan tenaga boleh baharu serta penerimagunaan teknologi yang pesat, disokong oleh rangka kerja kawal selia yang mantap," katanya.

Anwar berkata, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) juga mempunyai satu rangka kerja yang akan dilancarkan dalam masa beberapa minggu lagi dalam usaha membina kapasiti ESG PKS.

"Usaha itu penting bagi memastikan penyertaan berterusan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam ekosistem vendor MNC yang patuh ESG selain kelangsungan akses ke pasaran eksport yang sensitif ESG," katanya.

Bagi memastikan aspek keterangkuman, Anwar berkata, NIMP 2030 akan turut mewujudkan peluang bagi pertumbuhan PKS Malaysia dalam sektor pembuatan.

"Pada masa ini, PKS Malaysia hanya menyumbang 8.0 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta 9.0 peratus kepada eksport. Terdapat banyak potensi untuk mengembangkan PKS kita dalam pembuatan, seiring dengan aspirasi Ekonomi MADANI bagi mengukuhkan semua firma yang pelbagai saiz.

"NIMP 2030 juga mempunyai pelan tindakan khusus bagi membangunkan kapasiti PKS untuk meningkatkan kedudukan dalam rantaian bekalan global. Ini, pada akhirnya, akan membolehkan mereka berkembang kepada syarikat peringkat pertengahan yang dapat membantu Malaysia meraih lebih banyak pendapatan daripada hasil pertukaran asing," kata beliau.

Berita berkaitan:

Gaji lebih baik antara fokus NIMP 2030 - PM

NIMP 2030 perlu pelaburan RM95 bilion sepanjang 7 tahun - PM

NIMP 2030 mampu jadikan Malaysia negara peneraju industri berteknologi tinggi - Ahmad Zahid

NIMP 2030: Nilai tokokan pembuatan dijangka berkembang 6.5 peratus

Butiran terperinci pelaburan NIMP 2030 dalam Belanjawan 2024 - Tengku Zafrul

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2023 @ 4:15 PM