BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan komited sepenuhnya untuk menyokong pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), yang memerlukan anggaran jumlah pelaburan sebanyak RM95 bilion sepanjang tempoh tujuh tahun pelaksanaannya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaburan itu terutamanya daripada sektor swasta, disalurkan daripada ekuiti swasta, modal dan pasaran kewangan.

"Hampir 10 peratus akan diperuntukkan oleh kerajaan untuk membantu memangkin dan memberi insentif kepada pelaburan ini melalui Dana Pembangunan Perindustrian NIMP dan Dana Pelaburan Bersama Strategik NIMP," katanya pada pelancaran NIMP 2030 di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong, Ketua Setiausaha MITI Datuk Seri Isham Ishak dan pemain industri.

"Perjalanan untuk mentransformasikan industri memerlukan tindakan segera daripada semua pihak. Pelaksanaan adalah penting untuk menukar NIMP 2030 kepada tindakan yang nyata dan hasil yang boleh diukur," katanya.

Justeru, katanya NIMP akan dilaksanakan melalui pendekatan seluruh negara yang bukan sahaja melibatkan jentera kerajaan tetapi juga sektor swasta yang akan bekerjasama untuk mencapai visi dan matlamatnya.

"Kami akan menubuhkan Majlis NIMP 2030 Negara, dengan penyertaan daripada wakil kementerian dan industri yang berkaitan," katanya.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata tadbir urus awam-swasta akan diwujudkan untuk memastikan pelaksanaannya tepat pada masanya dan berkesan.

"Sebuah unit pengurusan penyampaian (DMU) di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan ditubuhkan untuk menyelaraskan semua usaha dan memacu pelaksanaan yang bersepadu melibatkan pihak berkepentingan," katanya.

Anwar menyatakan keyakinan bahawa NIMP 2030 akan membantu harapan negara untuk Malaysia yang lebih baik dengan menyediakan panduan yang diperlukan dan hala tuju yang jelas untuk pembangunan sektor pembuatan bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai pemacu utama kepada pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran negara.

"Kerajaan akan memastikan pelan tersebut dilaksanakan secara teliti dan memberi manfaat bukan sahaja kepada sektor swasta melalui prospek pelaburan dan perdagangan yang lebih baik tetapi juga rakyat melalui peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan berpendapatan tinggi," katanya.

Beliau menegaskan bahawa visi NIMP 2030 hanya dapat direalisasikan dengan jayanya jika "kita bekerjasama secara bersatu-padu, ke arah mencapai misi. Hanya dengan komitmen kepada perpaduan, kita dapat memenuhi harapan kita untuk negara."

Berita berkaitan:

Gaji lebih baik antara fokus NIMP 2030 - PM

NIMP 2030 mampu jadikan Malaysia negara peneraju industri berteknologi tinggi - Ahmad Zahid

NIMP 2030 guna pendekatan berasaskan misi - PM

NIMP 2030: Nilai tokokan pembuatan dijangka berkembang 6.5 peratus

Butiran terperinci pelaburan NIMP 2030 dalam Belanjawan 2024 - Tengku Zafrul

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2023 @ 3:56 PM