Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif ATech, Lee Chong Yeow.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif ATech, Lee Chong Yeow.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Saham-saham Aurelius Technologies Bhd (ATech) mencatatkan lebihan langganan sebanyak 20.27 kali sebelum penyenaraian syarikat itu di Papan Utama Bursa Malaysia pada 16 Disember ini.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lee Chong Yeow berkata, pihaknya menghargai keyakinan pelabur terhadap ATech, prospek perniagaan dan perancangan masa hadapan syarikatnya.

Perjalanan Atech untuk menjadi Penyedia Rumusan Sehenti Perkhidmatan Perkilangan Elektronik (EMS) begitu panjang dan kini membuahkan hasil.

"Sebagai penyedia EMS, kami terdorong oleh maklum balas hebat ke atas IPO yang memberi petunjuk bahawa sentimen pasaran adalah positif untuk momentum pertumbuhan ekonomi terus berkembang, yang penting bagi keseluruhan prospek masa hadapan industri elektrik dan elektronik,'' katanya.

ATech mahu menjana RM104.73 juta daripada proses IPO berkenaan dengan RM40 juta akan digunakan untuk membeli mesin dan peralatan baharu, RM29.52 juta bagi pembayaran balik pinjaman, RM28.13 juta bagi modal kerja dan RM7.09 juta bagi perbelanjaan penyenaraian.

"Memandang ke hadapan, perancangan perluasan kami akan melonjakkan pertumbuhan kepada perniagaan Kumpulan,'' katanya.

Menurutnya, ia juga adalah sebahagian strategi untuk meningkatkan perkilangan komponen semikonduktor Atech dan menaik taraf fasiliti perkilangan dengan teknologi Industri 4.0.

IPO berkenaan merangkumi penerbitan sehingga 103,870,000 saham dan meliputi penawaran institusi sehingga 80,961,000 Saham IPO untuk institusi Malaysia dan pelabur terpilih, termasuk pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada harga institusi yang akan ditetapkan secara cabutan.

Manakala penawaran runcit sebanyak 22,909,000 terbitan saham untuk pengarah dan kakitangan ATech yang layak dan orang perseorangan yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan dan rakyat Malaysia pada harga runcit RM1.36 sesaham dibayar secara penuh semasa memohon dan tertakluk kepada pemulangan baki beza harga antara harga runcit dan harga akhir jika berlaku harga akhir lebih rendah berbanding harga runcit.

Penawaran Institusi oleh ATech, ditetapkan pada RM1.36 sesaham.

Chong Yeow berkata, oleh kerana harga akhir runcit bersamaan dengan harga runcit RM1.36 sesaham terbitan, maka tiada pemulangan akan dilakukan bagi pemohon yang berjaya, di bawah penawaran runcit.

Katanya, sebanyak 14,253 permohonan bagi 380,958,800 Saham Terbitan dengan nilai sebanyak RM518,103,968.00 telah diterima daripada orang awam Malaysia bagi 17,909,000 Saham Terbitan yang boleh dipohon oleh orang awam Malaysia, yang mewakili kadar terlebih langganan keseluruhan sebanyak 20.27 kali.

Bagi bahagian Bumiputera, sebanyak 7,399 permohonan untuk 140,000,100 Saham Terbitan telah diterima mewakili kadar terlebih langganan sebanyak 14.63 kali.

Untuk bahagian orang awam, sejumlah 6,854 permohonan untuk 240,958,700 Saham Terbitan diterima yang mewakili kadar terlebih langganan sebanyak 25.91 kali.

Permohonan sebanyak 5,000,000 Saham Terbitan menerusi Borang Permohonan Merah Jambu telah dilangganan sepenuhnya.

Untuk penawaran Institusi, Penerbit dan Penaja Jamin Tunggal telah mengesahkan bahawa sebanyak 80,961,000 Saham IPO yang ditawarkan kepada institusi Malaysia dan pelabur terpilih, termasuk pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh MITI pada harga institusi, telah dilanggan sepenuhnya.

Maybank Investment Bank Berhad adalah Penasihat Prinsipal bagi IPO, serta Penerbit dan Penaja Jamin Tunggal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 7:40 PM