PELABUR wanita capai pulangan positif mengatasi lelaki secara purata 0.4% pada 2021.
PELABUR wanita capai pulangan positif mengatasi lelaki secara purata 0.4% pada 2021.

PENYERTAAN pelabur wanita tempatan melonjak ketara tahun lalu dan membentuk hampir 30 peratus daripada nilai dagangan di pasaran saham.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, golongan wanita meningkatkan pembabitan dalam aktiviti pelaburan dengan kenaikan 178.4 peratus jumlah nilai dagangan dan lonjakan 194.1 peratus jumlah dagangan antara 2018 hingga 2021.

"Pelabur wanita menyumbang 36 peratus dalam akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) baharu yang dibuka setakat ini, meningkat daripada 34 peratus pada 2021 dan 32 peratus pada 2020.

"Walaupun penemuan ini menggalakkan, masih banyak usaha perlu dilakukan untuk meningkatkan kesedaran kewangan dan penyertaan wanita dalam aktiviti pelaburan," katanya pada sesi maya Ring The Bell - Hari Wanita Sedunia 2022 yang diadakan semalam.

Muhamad Umar berkata, sebagai pendukung kuat kesaksamaan dan keterangkuman wanita dalam pasaran, Bursa Malaysia terus memperkasakan amalan berkenaan untuk merapatkan jurang pelaburan antara jantina.

Katanya, ia termasuk menyediakan akses sama rata kepada lelaki dan wanita terhadap peluang pelaburan yang tersedia dalam pasaran ekuiti.

"Terdapat kajian yang menunjukkan portfolio yang diuruskan wanita cenderung mengatasi prestasi yang diuruskan lelaki.

"Pada 2021, kajian Fidelity Investment menunjukkan pelabur wanita mencapai pulangan positif dan mengatasi lelaki secara purata 0.4 peratus, dari segi prestasi tahunan antara Januari 2011 dan Disember 2020.

"Ini penemuan menggalakkan. Bagaimanapun, masih ada ruang untuk berkembang dan banyak lagi perlu dilakukan," katanya.

Katanya, bagi menggalakkan penyertaan pelabur runcit wanita, Bursa Malaysia melancarkan kempen yang dikenali #MyFirstTrade dari 8 hingga 31 Mac, eksklusif untuk pelabur wanita yang mempunyai kisah positif untuk dikongsi.

"Kisah ini dipaparkan di halaman Equality4Equity di BursaMktplc dan di platform media sosial kami untuk mendekati wanita yang bercadang memasuki pasaran ekuiti.

"Dalam tempoh ini, Bursa Malaysia dan rakan kongsi broker yang mengambil bahagian memperuntukkan bahagian kami masing-masing RM10 untuk 4,000 akaun CDS pertama yang dibuka wanita melalui Bursa Anywhere," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2022 @ 7:10 AM