MUHAMAD Umar (kiri) bersama pemenang Cabaran Saham Antara Universiti 2019.
MUHAMAD Umar (kiri) bersama pemenang Cabaran Saham Antara Universiti 2019.
Mahanum Abdul Aziz


BURSA Malaysia Berhad komited untuk terus melaksanakan program bagi meningkatkan kesedaran dan penyertaan golongan muda dalam pasaran saham tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, berdasarkan perangkaan Jabatan Perangkaan, setakat pertengahan tahun lalu, 28 peratus penduduk Malaysia berumur 15 dan 30 tahun.

Katanya, perangkaan itu menunjukkan jumlah golongan muda adalah tinggi, justeru adalah penting untuk meningkatkan tahap celik kewangan dalam kalangan orang muda di negara ini.

“Ini bagi memastikan mereka berpengetahuan dalam membuat keputusan pelaburan dan kewangan yang betul ketika tahun paling produktif dalam hidup,” katanya pada majlis penutup Cabaran Saham Antara Universiti 2019 (IVSC) di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan Affin Hwang Capital, Datuk Maimoonah Mohamed Hussain; Ketua Pegawai Eksekutif Public Investment Bank, Lee Yo-Hunn dan Naib Presiden Eksekutif Pasaran Ekuiti AmInvestment Bank, Gan Kim Khoon.

Muhamad Umar berkata, Bursa Malaysia juga akan terus bekerjasama dengan peserta industri dalam meningkatkan kesedaran melabur dalam pasaran saham dan menggalakkan celik kewangan dalam kalangan generasi muda, yang mana akan menjadi generasi pelabur masa depan.

Beliau berkata, pihaknya mengalu-alukan kerjasama pendidikan pelabur dengan peserta pasaran yang menjadi pemacu kritikal membangunkan pasaran modal rancak dan mapan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Komersial Bursa Malaysia, Selvarany Rasiah berkata, golongan milenial kini mencatatkan peningkatan pantas dari segi pembukaan akaun sistem depositori pusat (CDS).

Beliau berkata, tahun ini, lebih 40 peratus akaun CDS dibuka membabitkan golongan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Ogos 2019 @ 11:12 AM