Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Oleh Mohd Nasaruddin Parzi


Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan secara maya dengan jutawan Elon Musk untuk membincangkan pelaburan pembuatan kereta Tesla di negara ini serta perkhidmatan komunikasi satelit SpaceX.

Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini menjelaskan, kerajaan mengalu-alukan minat serta keputusan pelaburan syarikat berkenaan ke Malaysia dan juga kesediaan Elon untuk datang ke negara ini.

"Hari ini saya mengadakan pertemuan melalui persidangan video bersama dengan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SpaceX, Elon Musk. Beliau juga adalah CEO Tesla Inc.

"Turut mengucap tahniah dan dokongan kerajaan atas pembukaan Ibu Pejabat, Pusat Servis dan Pusat Pengalaman jenama kenderaan elektrik Tesla milik Elon di Selangor tahun ini," katanya turut menyatakan kerajaan memberi dokongan atas pembukaannya itu.

Pertemuan maya Anwar dengan Elon itu bermula pada jam 9.30 pagi tadi dan berlangsung selama kira-kira 25 minit.

Turut menyertai sidang maya itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Mengulas lanjut, Anwar berkata penyertaan syarikat SpaceX dalam perkhidmatan satelit Starlink dapat menyumbang kepada capaian internet yang lebih laju dan meluas.

"…terutamanya di kawasan pedalaman, yang hanya memerlukan infrastruktur fizikal dan tanah yang minima bagi meningkatkan rangkaian internet global.

"Inisiatif ini akan meningkatkan keupayaan dan kesejahteraan rakyat, terutamanya dari aspek pendidikan dan potensi teknologi pertanian serta penjanaan pendapatan," katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, Malaysia akan terus memperkasakan komitmen dalam soal pelepasan karbon sifar bersih atau 'net-zero emissions' seawal-awalnya pada tahun 2050.

"Malaysia mempunyai pelan dan ekosistem komprehensif serta sumber yang berdaya saing dalam menyokong industri tenaga bersih termasuk mobiliti elektrik," katanya.

Tesla Inc adalah multinasional Amerika Syarikat (AS) yang beribu pejabat di Austin, Texas yang terbabit dalam bidang automotif, kecerdasan buatan dan tenaga bersih.

Syarikat dan pengeluar kenderaan paling bernilai didunia dan mempunyai lebih 120,000 pekerja di seluruh dunia, mereka bentuk dan mengeluarkan EV (kereta dan trak), simpanan tenaga bateri dari rumah ke skala grid, panel solar serta produk dan perkhidmatan berkaitan.

Tesla akan dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada 20 Julai ini.

Kemasukan Tesla ke Malaysiadipermudahkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melalui pengenalan inisiatif 'BEV Global Leaders' bagi tujuan membantu meningkatkan permintaan BEV dalam pasaran tempatan dan menggalakkan pembangunan keseluruhan ekosistem untuk menyokong penggunaan BEV.

Selain itu, inisiatif ini bertujuan mendapatkan pelaburan daripada syarikat pengeluar BEV global terkemuka di Malaysia. Tesla ialah pemohon pertama inisiatif oleh MITI ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2023 @ 1:15 PM