Orang ramai mandi-manda di SplashMania, Gamuda Cove. - FOTO NSTP
Orang ramai mandi-manda di SplashMania, Gamuda Cove. - FOTO NSTP
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Langat: Gamuda Cove yang mempunyai taman tema air SplashMania bakal menjadi satu rangsangan dan memainkan peranan penting dalam mengukuhkan Selangor sebagai negeri yang paling banyak dikunjungi oleh rakyat Malaysia.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, dengan adanya Gamuda Cove, ia bukan sahaja menarik rakyat negara ini, tetapi turut menarik pelancong dari negara Vietnam, Australia dan Singapura untuk mengunjunginya.

Beliau berpandangan, ia juga akan menambah jumlah pelancong ke negeri ini mengambil contoh kehadiran 22 juta pelancong tempatan dan 3.2 juta pelancong antarabangsa pada tahun lalu.

"Saya yakin kita boleh melepasi paras 25 juta menjelang akhir tahun kalendar ini, menjadikannya negeri yang paling banyak dikunjungi oleh semua rakyat Malaysia," katanya semasa merasmikan taman tema air SplashMania, Gamuda Cove di sini semalam.

Hadir sama, Pengerusi Gamuda Berhad, Tan Sri Ambrin Buang dan Pengarah Urusan Kumpulan Gamuda Berhad, Datuk Lin Yun Ling.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, dengan adanya destinasi pelancongan menarik seperti SplashMania Gamuda Cove, ia bakal meningkatkan kapasiti sektor peruncitan dan mengangkat Selangor sebagai destinasi gaya hidup.

Selain itu katanya, perkembangan yang dapat dilihat pada masa ini juga mempamerkan tarikan unik Selangor, keajaiban alam semula jadi dan warisan budaya kepada pengunjung.

"Ia juga menarik pendapatan dari pelancongan serta membolehkan penciptaan pekerjaan dalam industri seperti hospitaliti, hiburan dan perniagaan tempatan," katanya.

Beliau berkata, perkara ini selaras dengan strategi kerajaan negeri untuk mengukuhkan pembangunan ekonomi Selangor, dengan pelancongan dikenalpasti sebagai antara sembilan industri tumpuan berimpak tinggi.

"Melalui kerjasama dengan rakan kongsi, ia dapat memastikan usaha kita sejajar dengan matlamat pembangunan ekonomi negeri, mewujudkan penyelesaian menang-menang untuk semua.

"Oleh itu, kami mengalu-alukan penambahan taman tema air SplashMania dan juga inisiatif Gamuda serta pelaburan mereka dalam 'peremajaan' Paya Indah Discovery Wetlands bersama-sama penciptaan Discovery Park di Gamuda Cove yang terdiri daripada pelbagai ekopelancongan dan aktiviti pengembaraan.

"Saya yakin Selangor akan terus kekal sebagai salah satu destinasi pelancongan paling popular di negara ini dan seterusnya dapat meningkatkan pendapatan kita daripada pelancongan," katanya.

Dalam pada itu, Ambrin berkata, sejak dibuka pada Februari lalu, SplashMania telah berjaya menarik ramai pelawat ke Gamuda Cove dan merancakkan bandar ini.

Antara tarikan yang menanti pengunjung SplashMania. - FOTO NSTP
Antara tarikan yang menanti pengunjung SplashMania. - FOTO NSTP

Beliau memaklumkan, taman tema tema air ini mengalu-alukan lebih 75,000 pelawat bulanan, disokong perkembangan positif industri pelancongan domestik dan serantau.

Katanya, dengan pelancaran rasminya, ia menandakan taman tema ini akan beroperasi pada kapasiti penuh.

"Dengan kesemua 24 gelongsor kini dibuka kepada orang ramai, termasuklah gelongsor air realiti maya pertama di Malaysia yang kami perkenalkan sebagai Atlantis VR, serta gelongsor air Monsta dan Twista.

"Sebagai taman tema air pertama dan satu-satunya di Malaysia yang menawarkan gelongsor air realiti maya, pengunjung dapat menikmati pengembaraan secara maya menggunakan set peranti VR yang membawa mereka ke pengembaraan di dunia realiti maya sambil menuruni gelongsor ini.

"Selain itu, gelongsor air Monsta dan Twista yang berliku-liku serta berkelajuan tinggi akan menjamin keseronokan buat peminat adrenalin," katanya.

Ambrin berkata, kejayaan SplashMania tidak terhad kepada pelawat individu tetapi turut menyumbang kepada kemajuan sektor ekopelancongan lain dalam Gamuda Cove yang melambangkan kemunculan hab tarikan utama di Selangor.

"Ditambah dengan aktiviti ekopelancongan sedia ada di Paya Indah Discovery Wetlands dan pengembaraan di Discovery Park, kami yakin Gamuda Cove akan terus menarik pengunjung tempatan dan serantau," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2023 @ 11:26 AM