Sebahagian besar tarikan di taman tema air di Gamuda Cove adalah pertama di dunia.
Sebahagian besar tarikan di taman tema air di Gamuda Cove adalah pertama di dunia.
Syarifah Dayana Syed Bakri


MENGUNJUNGI taman tema air pasti menjadi aktiviti yang dinantikan seisi keluarga khususnya kanak-kanak, namun kebiasaannya kos yang tinggi menyebabkan ibu bapa berfikir banyak kali untuk mengunjungi taman tema seumpama ini.

Namun, ia berbeza dengan taman tema air di Gamuda Cove apabila ia menjangkakan untuk menawarkan tiket kemasukan lebih rendah berbanding taman tema sedia ada di pasaran ketika ini.

Terletak di perbandaran Gamuda Cove, Dengkil, Selangor taman tema air berkenaan dijangka mula dibuka untuk kunjungan awam pada Disember 2021.

Bertemakan hutan hujan, 70 peratus daripada kawasan taman tema berkenaan dilitupi pelbagai tanaman tropika.

Pengarah, Santai dan Hospitaliti, Gamuda Land, Aaron Soo berkata, pihaknya melakukan kajian menyeluruh untuk membangunkan taman tema air berkenaan bagi memastikan ia menjadi tarikan utama di Malaysia selepas ia beroperasi kelak.

TAMAN tema air itu akan menawarkan18 permainan termasuk gelongsor dilengkapi kamera VR.
TAMAN tema air itu akan menawarkan18 permainan termasuk gelongsor dilengkapi kamera VR.

“Sebahagian besar tarikan di sini adalah yang pertama di dunia, Asia atau Malaysia. Ia juga memenuhi standard keselamatan yang ditetapkan The Global Association for the Attractions’ (IAAPA),” katanya pada majlis pecah tanah di Dengkil, semalam.

Menurutnya, kos pembinaan taman tema air itu mencecah RM350 juta dengan peruntukan bagi gelongsor dan permainan saja mencecah RM90 juta.

Malah, pihaknya yakin dapat menawarkan harga kemasukan yang kompetitif memandangkan kos pengurusannya dapat dilaksanakan dengan cara tersendiri.

“Ia akan dikendalikan pengurusan Gamuda Land dan kami mempunyai kakitangan yang berkemahiran.

“Malah, dengan persekitaran yang tidak memerlukan penyaman udara, kami yakin kos menguruskan taman ini tidak terlalu tinggi,” katanya.


Taman tema air itu akan menawarkan 18 permainan termasuk gelongsor dilengkapi kamera realiti maya (VR) bagi memberi impak lebih menarik kepada pengunjung selain turut diselitkan ciri-ciri permainan bagi menambah rasa teruja.

Ia juga akan dilengkapi sungai sepanjang 300 meter sesuai untuk kanak-kanak, pantai buatan dengan dilengkapi kabana selain permainan air interaktif.

Sementara itu, perbandaran Gamuda Cove yang mencatatkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM20 bilion, bukan saja menempatkan taman tema air, namun ia meliputi perbandaran lengkap bagi memenuhi gaya hidup serba moden.

Fasa pertama kediaman yang ditawarkan adalah Palma Sands (teres dua tingkat) dan Maya Bay (apartmen servis) berjaya merekodkan 70 peratus jualan.

Penyerahan kunci dijangka dilakukan pada 2021 bersama-sama dengan pembukaan taman tema air berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 November 2019 @ 11:07 AM