Lakaran artis untuk taman air SplashMania.
Lakaran artis untuk taman air SplashMania.
Norzamira Che Noh


Kuala Langat: Pemaju hartanah, Gamuda Land akan membuka taman air pertamanya, SplashMania di perbandaran Gamuda Cove pada minggu kedua Januari 2023.

Ketua Pegawai Operasi Gamuda Land, Chu Wai Lune berkata taman air seluas 18 ekar itu akan menyediakan 24 gelongsor air yang pastinya mendebarkan pengunjung dan 15 tarikan utama, dengan beberapa daripadanya adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia termasuk kawasan perairan realiti maya (VR Waterslide).

"Pembukaan Taman Air SplashMania ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada penduduk dari Gamuda Cove, tetapi komuniti sekitarnya dan Malaysia secara amnya dengan unjuran pengunjung tahunan sebanyak 800,000 orang.

"Taman air ini akan membolehkan kami menjangkau peluang ekopelancongan yang belum diterokai di wilayah Lembah Klang Selatan selaras dengan rancangan Tourism Selangor," katanya pada Majlis Pratontot Taman Air SplashMania di Quayside Mall dekat sini, hari ini.

Ketua Pegawai Operasi Gamuda Land, Chu Wai Lune (empat dari kanan) diiringi Pengurus Besar Riadah dan Hospitaliti Gamuda Land, Sanjay Nadarajah (dua dari kiri), Pengarah Eksekutif Komersial Gamuda Land, Larissa Chan (empat dari kiri) dan Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat, Arpaaii Sanat (tengah) pada Majlis Pratonton Taman Tema Air SplashMania. - FOTO NSTP
Ketua Pegawai Operasi Gamuda Land, Chu Wai Lune (empat dari kanan) diiringi Pengurus Besar Riadah dan Hospitaliti Gamuda Land, Sanjay Nadarajah (dua dari kiri), Pengarah Eksekutif Komersial Gamuda Land, Larissa Chan (empat dari kiri) dan Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat, Arpaaii Sanat (tengah) pada Majlis Pratonton Taman Tema Air SplashMania. - FOTO NSTP

Beliau berkata, lokasi Gamuda Cove yang strategik di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) di koridor selatan Lembah Klang, serta jaraknya yang berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 menjadikannya sangat mudah diakses oleh pelancong tempatan dan luar negara.

Katanya, Gamuda Cove juga terletak di antara Paya Indah Discovery Wetlands yang subur dan Hutan Simpan Kuala Langat.

"Mendapat inspirasi daripada persekitarannya, SplashMania akan dinaungi oleh lebih 1,500 jenis pokok termasuk spesies pokok asli dan terancam," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar (Riadah & Hospitaliti) Gamuda Land, Sanjay Nadarajah berkata, 'Where Nature Meets Fun' membentuk intipati Taman Air SplashMania.

"Dengan mengambil kira persekitaran semula jadi taman air dan kawasan tanah lembap di sekitarnya, kami memastikan bahawa kami mendedikasikan 70 peratus taman air ini bagi kawasan hijau.

"Tunggangan dan gelongsor di SplashMania direka oleh Polin Waterparks dan ProSlide Technology yang juga pembangun gelongsor dengan teknologi luar biasa dan rekod keselamatan yang inovatif serta dipercayai," katanya.

Sanjay berkata, salah satu tarikan di SplashMania adalah Shaka Waka iaitu gelongsor air multimedia dan audio sepanjang 78 meter yang dilengkapi pelbagai kesan cahaya LED yang boleh disesuaikan oleh setiap pengunjung sebelum masuk.

Jelasnya, bagi mereka yang mencari adrenalin, gelongsor air Wild Rush pilihan terbaik kerana ia adalah gabungan lengkung belakang ke belakang, titisan dan gelung vorteks.

"Sementara itu, turut disediakan adalah Atlantis VR iaitu pengalaman yang mengasyikkan iaitu pengunjung akan disajikan dengan penutup kepala VR dan mereka dapat bayangkan berada di dunia yang sama sekali berbeza semasa mereka memulakan perjalanan maya 250 meter melalui Lost City of Atlantis," katanya.

Dalam pada itu, pada sesi pratonton itu, Gamuda Land turut mengumumkan bahawa ia akan memperkenalkan aplikasi mudah alih GL Play apabila taman tema air dibuka sebagai sebahagian daripada usaha pendigitalan taman untuk menawarkan kemudahan kepada pengunjung dan pelanggannya.

Menerusi aplikasi itu, pelanggan akan dapat membeli tiket mereka lebih awal melalui platform tempahan aplikasi.

Ia juga akan membolehkan pengunjung taman menavigasi kemudahan di taman berkenaan menggunakan ciri peta taman dan memesan makanan serta minuman mereka tanpa perlu beratur.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2022 @ 5:54 PM