Bank Rakyat
Bank Rakyat

Kuala Lumpur: Bank Rakyat kini menawarkan hadiah lumayan berjumlah keseluruhan RM5.8 juta kepada pelanggan bertuah bagi Akaun Pelaburan-i Rizq Plus bermula awal Ogos lalu sehingga Januari 2025.

Produk pelaburan ini mula diperkenalkan pada Julai 2022 dengan pelaburan minimum serendah RM100 dan baki minimum akaun serendah RM50 serta anggaran pulangan pelaburan yang kompetitif.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dr Mohammad Hanis Osman berkata, peningkatan jumlah keseluruhan hadiah kepada RM5.8 juta berbanding RM1 juta yang ditawarkan sebelum ini adalah sebagai tanda penghargaan Bank Rakyat kepada pelanggan menjelang ulang tahunnya yang ke-69 pada 28 September ini.

"Tawaran ini juga bagi memastikan lebih ramai lagi pelanggan berpeluang memenangi kategori cabutan bertuah yang diadakan sepanjang tempoh berkenaan.

"Menerusi tawaran ini, pemegang Akaun Pelaburan-i Rizq Plus sama ada pelanggan baharu atau sedia ada akan berpeluang untuk memenangi tujuh kategori cabutan termasuk cabutan bulanan (kategori umum dan peringkat negeri), suku tahun, setengah tahun, cabutan ulang tahun Bank Rakyat, cabutan perayaan khas, cabutan hadiah utama dan pelbagai cabutan istimewa.

"Selain hadiah wang tunai, pelanggan berpeluang membawa pulang hadiah emas serta peratusan keuntungan dividen saham yang diisytiharkan selama lima tahun berdasarkan nilai saham berjumlah hingga RM100,000," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2023 @ 10:39 AM