Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick merasmikan cawangan baharu Rakyat Xcess dan Ar-Rahnu X’Change di Ranau. FOTO ihsan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick merasmikan cawangan baharu Rakyat Xcess dan Ar-Rahnu X’Change di Ranau. FOTO ihsan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi
Izwan Abdullah


Ranau: Bank Rakyat terus komited memastikan masyarakat mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan menerusi pembukaan cawangan baharu Rakyat Xcess dan Ar-Rahnu X'Change, di sini.

Kemudahan perbankan itu adalah cawangan pertama Rakyat Xcess dan Ar-Rahnu X'Change di Sabah setakat ini, selain 13 cawangan Bank Rakyat di seluruh negeri dan tiga kemudahan bank bergerak (ARROW) di Sandakan, Keningau dan Kota Marudu.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, pembukaan kemudahan perbankan itu memberi pilihan kepada orang ramai untuk mendapatkan perkhidmatan terbaik.

Menurutnya, perkhidmatan Rakyat Xcess menawarkan rangkaian kemudahan perbankan yang boleh diakses oleh pelbagai lapisan masyarakat seperti pembukaan akaun simpanan dan mesin juruwang automatik (ATM).

Katanya, manakala Ar-Rahnu X'Change pula menyediakan pembiayaan patuh syariah bercagarkan emas iaitu Skim Pembiayaan Pajak Gadai-i yang mudah dan pantas.

"Inisiatif memperluaskan rangkaian perbankan ini adalah amat selari dengan komitmen berterusan kementerian dalam memenuhi mandat untuk membantu membangunkan golongan 'unserved' dan 'underserved' khususnya di kawasan luar bandar menerusi penyediaan pelbagai penyelesaian kewangan dan perbankan yang bersesuaian dengan keperluan individu serta perniagaan.

"Pembukaan Rakyat Xcess dan Ar-Rahnu X'Change di Ranau yang terkenal dengan aktiviti pelancongan sejajar dengan matlamat kerajaan untuk merancakkan lagi aktiviti ekonomi dan keusahawanan di Sabah.

"Inisiatif ini juga amat bertepatan dengan konsep Malaysia Madani untuk menyediakan kebolehcapaian ekosistem kewangan lebih inklusif," katanya yang merasmikan pembukaan cawangan terbaharu itu, di sini.

Sementara itu, Pemangku Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, pihaknya sentiasa mengambil langkah proaktif ke arah mengukuhkan rangkaian perniagaannya di seluruh negara tidak kira di bandar mahupun di luar bandar.

Katanya, komitmen itu demi kesejahteraan masyarakat secara keseluruhannya dan bukan hanya mementingkan keuntungan serta operasi perniagaan Bank Rakyat semata-mata.

"Saya juga percaya cawangan yang dilengkapi dengan fasiliti dan perkhidmatan termasuk produk pembiayaan, simpanan serta pelbagai perkhidmatan lain ini akan memanfaatkan lebih 85,000 penduduk daerah Ranau serta kawasan sekitarnya, khususnya dalam melaksanakan urusan perbankan yang mudah, selamat dan pantas," katanya.

Pada majlis sama, Bank Rakyat menyerahkan hadiah cabutan Akaun Pelaburan-i Rizq Plus berjumlah RM100,000 kepada pemenang cabutan bagi Oktober 2023 bersempena ulang tahun Bank Rakyat ke-69.

Dalam pada itu, Bank Rakyat turut menyerahkan sumbangan Program Kasih Wira Negara kepada tiga waris anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terkorban dalam insiden pertempuran di Lahad Datu pada 2013 sebagai pengiktirafan terhadap keberanian dan pengorbanan mereka dalam mempertahankan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2023 @ 4:13 PM