Bank Rakyat
Bank Rakyat
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Bank Rakyat komited meningkatkan pengetahuan orang ramai mengenai ilmu pengurusan kewangan menerusi penganjuran program 'Perfect BRew Coffee Roadshow' yang bakal diadakan di 13 lokasi sekitar Lembah Klang bermula 17 (Isnin ini) hingga 31 Julai 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dr Mohammad Hanis Osman berkata, program ini bertujuan bagi meningkatkan kesedaran, pengetahuan dan pemahaman orang ramai mengenai ilmu pengurusan kewangan serta produk dan kemudahan perbankan sedia ada yang ditawarkan oleh Bank Rakyat bagi memenuhi keperluan kewangan mereka.

"Kami percaya bahawa masyarakat yang mampu membuat keputusan kewangan lebih bijak dan bertanggungjawab serta mempunyai kebolehan untuk mengurus kewangan mereka termasuklah dalam urusan simpanan wang, pelaburan dan pengurusan hutang," katanya dalam kenyataan.

Selain dapat menikmati kopi bru dan mufin secara percuma di setiap lokasi, orang ramai juga berpeluang mendapatkan nasihat kewangan mengenai produk dan kemudahan perbankan Bank Rakyat yang sesuai bagi memenuhi keperluan serta aliran tunai mereka seperti Pembiayaan Peribadi-i bagi sektor awam dan swasta yang menawarkan amaun pembiayaan sehingga RM400,000 dengan kadar pembiayaan kompetitif di pasaran.

Selain itu, Bank Rakyat turut menawarkan pakej kos kemasukan sifar dengan margin pembiayaan sehingga 110 peratus bagi pembeli rumah pertama menerusi Pembiayaan Perumahan-i, juga tawaran khas juga untuk pembelian kenderaan elektrik melalui Pembiayaan Kenderaan-i, dengan hadiah keseluruhan berjumlah RM100,000.

Tawaran menarik lain iaitu Kad Kredit-i Bank Rakyat seperti kemudahan pelan ansuran sifar peratus untuk pembelian barangan RM1,000 ke atas, tiada yuran pemprosesan dan banyak lagi.

Di samping itu, orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat mengenai instrumen pengurusan kewangan yang tepat daripada penasihat kewangan bagi memperbaiki kedudukan kewangan mereka seperti kemudahan penyatuan hutang menerusi Pembiayaan Peribadi-i Penyatuan Hutang, dengan tawaran kadar keuntungan yang rendah bagi menyelesaikan hutang sedia ada dengan lebih cepat dan mudah.

Bagi meningkatkan daya tahan kewangan ketika berhadapan dengan situasi yang tidak dijangka, Bank Rakyat menggalakkan orang ramai memanfaatkan produk pelaburannya iaitu Akaun Pelaburan-i Rizq Plus yang membolehkan mereka melabur dalam aktiviti kewangan patuh syariah dengan pelaburan minimum serendah RM100, di samping berpeluang memenangi tawaran hadiah keseluruhan berjumlah RM1 juta dan cabutan istimewa hadiah setengah tahun berjumlah RM100,000.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2023 @ 3:14 PM