EKONOMI domestik harus mempunyai kitaran tunai sihat untuk melonjakkan permintaan dan pertumbuhan dalam negeri yang mula sugul.
EKONOMI domestik harus mempunyai kitaran tunai sihat untuk melonjakkan permintaan dan pertumbuhan dalam negeri yang mula sugul.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Kerajaan perlu bertindak segera melalui pelan strategik komprehensif bagi mengelakkan kejatuhan selanjutnya mata wang ringgit Malaysia.

Penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, unjuran penurunan ringgit berbanding mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) memang sudah dijangka.

Tetapi katanya, nilai ringgit juga jatuh berbanding semua mata wang rakan dagang dan negara jiran di Asean.

"Sebagai contoh, berbanding dolar Singapura, ringgit sudah merosot melebihi RM3.40 dan mungkin akan terus terhakis antara 3.45 dan 3.50.

"Ringgit susut lagi berbanding Pound Sterling kepada 5.7247 daripada 5.6877 pada penutup Rabu, lemah berbanding Euro (susut) 4.9630 daripada 4.9470.

"Bagi mata wang Asean yang lain pula, ringgit terus susut berbanding Rupiah Indonesia kepada 309.2 daripada 308.1, turun berbanding Peso Filipina iaitu kepada 8.25 dan 8.26 daripada 8.24 dan susut lagi berbanding Baht Thailand kepada 13.3602 sebelum ini.

"Sementara itu, terdapat beberapa tanda bahawa Rizab Persekutuan mungkin perlu menaikkan semula kadar faedah dan lebih banyak faktor teknikal yang berkaitan dengan kedudukan pelabur terbabit.

"Malah data pembukaan semula ekonomi China juga tidak begitu menggalakkan seperti yang dijangkakan untuk tempoh semasa 2023.

"Ekonomi China dijangka menjadi pemangkin kepada ekonomi dunia, terutama bagi negara Asia, tidak memenuhi jangkaan penganalisis pasaran dan dana pengurus," katanya.

Menurutnya, peningkatan dalam nilai dolar AS adalah disebabkan sebahagian besarnya didorong kenaikan permintaan untuk tempat perlindungan yang selamat memandangkan keadaan ekonomi dunia berada dalam kedudukan 'tidak diketahui'.

Beliau berkata, sebagai sebuah ekonomi terbuka, Malaysia tidak boleh lari dan banyak dipengaruhi oleh faktor global, terutama dengan apa yang berlaku di AS.

"Kita sudah melihat eksport Malaysia pada April menunjukkan aliran menurun sejak Januari tahun ini dan penurunan -14.5 peratus dalam perdagangan antarabangsa kita kepada RM198 bilion dalam perbandingan tahun ke tahun antara April 2023 dan April 2022, menunjukkan prospek ekonomi global yang suram.

"Dalam usaha kita untuk mencapai pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang disasarkan sebanyak 4.0 ke 5.0 peratus, kerajaan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) mestilah berganding bahu untuk menyelaraskan ekonomi domestik secepat mungkin melalui dasar fiskal dan monetari yang seiring.

"Dengan kadar inflasi yang terkawal walaupun masih tinggi dari tahun lalu, ekonomi domestik haruslah mempunyai kitaran tunai sihat untuk melonjakkan permintaan dan pertumbuhan dalam negeri yang mula sugul," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mei 2023 @ 10:26 AM