MALAYSIA pernah mengalami penyusutan pada kadar RM5.30 berbanding dolar AS.
MALAYSIA pernah mengalami penyusutan pada kadar RM5.30 berbanding dolar AS.
myMetro

Kuala Lumpur: Nilai ringgit dijangka mampu kembali ke paras wajar RM4.10 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang suku ketiga tahun ini, selaras unjuran penganalisis ekonomi, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Othman Aziz.

Menurutnya, kadar wajar itu mampu dicapai bersandarkan kepada pengukuhan sektor komoditi dan asas ekonomi negara yang masih baik.

Beliau berkata, penyusutan nilai ringgit petang kelmarin yang mencecah RM4.50 bukan sesuatu yang baru, malah negara pernah mengalami kadar susutan lebih teruk RM5.30 berbanding dolar AS.

“Perkara ini adalah kitaran biasa dalam ekonomi terbuka dan ia boleh meningkat bergantung kepada asas ekonomi kita yang masih dalam keadaan baik. Pada masa sama, ia juga memberi manfaat kepada perniagaan berteraskan transaksi dolar AS.

“Malah, kita juga menunggu apakah perkara yang akan dilaksanakan Presiden Amerika dipilih Donald Trump yang masih lagi samar mengenai kesannya kepada ekonomi kita,” katanya ketika melawat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) di sini, semalam.

Semalam, ringgit ditutup pada 4.4830/4870 berbanding dolar AS daripada 4.4960/4990, Rabu lalu. Mata wang itu turut susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1251/1297 daripada 3.1099/1126 semalam dan turun berbanding yen kepada 3.8441/8479 daripada 3.8202/8231.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2017 @ 7:16 AM