DR Nazri Khan
DR Nazri Khan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Ringgit dijangka meningkat dan mencecah paras 4.25 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu ini, sejajar dengan pemulihan harga komoditi dan ketegangan geopolitik membabitkan Korea Utara yang semakin reda.

Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, gangguan bekalan di Texas, Colombia dan Libya, baru-baru ini, ternyata memacu harga minyak mentah ke paras lebih tinggi pada minggu lalu.

“Peningkatan ini menyokong ringgit dan Malaysia sebagai pengeksport bersih produk minyak serta petroleum, amat bergantung kepada pergerakan komoditi ini,” katanya.

Selain itu, Nazri Khan turut menyifatkan kebimbangan akibat tindakan Korea Utara melancarkan peluru berpandu yang semakin reda, juga akan mempengaruhi prestasi ringgit.

“Permintaan terhadap mata wang termasuk ringgit akan meningkat berikutan minat pelabur yang kembali pulih selepas kebimbangan terhadap tindak-tanduk Korea Utara ini reda,” katanya.

Nazri Khan turut mendedahkan berlakunya aliran masuk dana asing dalam jumlah besar ke pasaran negara sedang pesat membangun termasuk Malaysia yang dilihat sejak minggu lalu selepas berakhirnya simposium Jackson Hole di AS pada 26 Ogos lalu.

“Pelabur masih terus buntu mengenai hala tuju kadar faedah (ditetapkan) Rizab Persekutuan AS selepas Pengerusinya, Janet Yellen tidak membincangkan isu ini di acara tahunan berkenaan,” katanya.

Bagi minggu yang singkat ini, ringgit diniagakan lebih tinggi iaitu 4.2690/2720 berbanding dolar AS daripada 4.2710/2740 pada minggu lalu. Unit tempatan itu bagaimanapun susut berbanding kebanyakan mata wang utama lain.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1482/1514 daripada 3.1397/1426, merosot berbanding pound Britain kepada 5.5168/5220 daripada 5.4801/4844, turun berbanding euro kepada 5.1010/1063 daripada 5.0411/0455 namun meningkat berbanding yen kepada 3.8837/8882 daripada 3.8980/8011.

Pasaran ditutup pada Khamis dan Jumaat bersempena cuti umum Hari Kebangsaan dan Aidiladha.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2017 @ 3:07 AM