GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kadar ringgit semasa akan menawarkan kelebihan daya saing untuk eksport Malaysia ke United Kingdom (UK), selain merancakkan industri pelancongan tempatan, kata penganalisis.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata pengukuhan pound sterling akan menjadikan Malaysia menarik dan destinasi pelancongan yang lebih murah kepada pelancong UK.

"Kenaikan pound akan menawarkan nilai yang lebih tinggi kepada pelancong UK dan menjadikan Malaysia destinasi pelancongan yang menarik.

"Daripada segi perdagangan, Malaysia mengimport lebih banyak dari UK berbanding eksport. Eksport Malaysia hampir mencecah US$2.5 bilion ke UK. Oleh itu, kita jangka eksport mampu bertambah dan permintaan dari UK mula menokok," katanya kepada Bernama.

Namun begitu, Innes berkata tekanan gaji yang semakin melonjak di UK akan merangsang jangkaan untuk kadar faedah yang lebih tinggi. Jangkaannya adalah Bank of England (BoE) menaikkan kadar faedah melangkaui enam peratus.

"Perbezaan yang lebih luas dalam kadar faedah antara Malaysia (3.0 peratus) dan UK juga boleh membawa kepada penurunan selanjutnya bagi ringgit," katanya.

Selasa lepas, ringgit menyusut berbanding pound Britain kepada 6.0136/0187 daripada 5.9785/9836 yang dicatatkan pada Isnin lepas, mencecah paras RM6 kepada £1.

Namun, ketika ini, mata wang tempatan itu semakin mantap berbanding pound Britain kepada 5.9828/9913 daripada 6.0120/0165 semalam.

Ringgit bukanlah satu-satunya mata wang yang jatuh berbanding pound tahun ini, yang juga telah mengukuh berbanding mata wang serantau lain termasuk dolar US, menjadikannya sebagai salah satu mata wang berprestasi tinggi pada 2023.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd dan Ketua Kewangan Sosial Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata inflasi UK berada pada 8.7 peratus semasa April dan Mei selepas mencapai paras kemuncak pada lebih 11 peratus, Oktober tahun lepas.

"BoE telah berjaya menurunkan kadar inflasi mereka tetapi masih kurang daripada sasaran 2.0 peratus," katanya.

Mohd Afzanizam juga berkata bank itu mungkin akan terus menaikkan kadar faedah, memandangkan pasaran buruh mereka menjadi agak ketat, yang mana permintaan yang banyak terhadap buruh boleh membawa kepada pertumbuhan gaji yang lebih tinggi.

Sementara itu, MIDF Research menjangka ringgit akan mendapat kelebihan daripada kadar inflasi yang berkurangan dan menjangkakan mata wang tempatan itu menokok secara beransur-ansur menjelang separuh kedua 2023 berikutan peluang kenaikan kadar menjadi jeda.

Dalam satu nota hari ini, MIDF Research mengekalkan unjuran akhir tahunnya untuk ringgit mencecah RM4.20 setiap dolar US.

Inflasi pengguna AS menurun kepada 3.0 peratus dari tahun ke tahun pada Jun 2023, paras terendah sejak Mac 2021 dan lebih rendah sedikit daripada 3.1 peratus yang dijangkakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2023 @ 4:26 PM