EKONOMI negara kekal di landasan tepat bagi mencapai sasaran pertumbuhan 4.0-5.0 peratus tahun ini.
EKONOMI negara kekal di landasan tepat bagi mencapai sasaran pertumbuhan 4.0-5.0 peratus tahun ini.

KALANGAN penganalisis mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang antara 4.0 peratus hingga 4.3 peratus bagi 2023 serta memberi pandangan berbeza mengenai prospek kadar dasar semalaman (OPR) susulan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku kedua 2023 yang lebih perlahan daripada dijangkakan.

Jumaat lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan bahawa ekonomi Malaysia berkembang secara sederhana pada 2.9 peratus tahun ke tahun dalam suku kedua berbanding 5.5 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2023, didorong terutamanya oleh permintaan luaran yang lebih perlahan.

Gabenor BNM Datuk Abdul Rasheed Ghaffour optimis bahawa ekonomi negara kekal di landasan tepat bagi mencapai sasaran pertumbuhan 4.0-5.0 peratus tahun ini, disokong oleh pemulihan berterusan pasaran tenaga kerja, pelaksanaan projek dan peningkatan aktiviti pelancongan.

Ahli Ekonomi RHB Bank Bhd Chin Yee Sian dan Penganalisis Penyelidikan Bersekutu Wong Xian Yong dalam nota penyelidikan masing-masing berkata, angka KDNK suku kedua yang lebih rendah daripada unjuran konsensus Bloomberg sebanyak 3.3 peratus tahun ke tahun, serta unjuran dalaman mereka sebanyak 3.5 peratus tahun ke tahun, adalah seiring dengan pertumbuhan suku berkenaan yang sederhana.

Mereka berpendapat, ini berikutan kelemahan dalam permintaan luaran selain normalisasi perbelanjaan pengguna di peringkat domestik.

Berikutan perkembangan itu, mereka menyemak turun unjuran pertumbuhan KDNK 2023 kepada 4.3 peratus daripada 5.0 peratus tahun ke tahun sebelum ini kerana menjangkakan perbelanjaan pengguna yang terus menyederhana dalam suku ketiga 2023.

"Penguncupan data eskport bagi asas tahun ke tahun berkemungkinan besar akan turut berlanjutan ke dalam suku ketiga 2023," kata mereka.

Mengulas prospek OPR, Chin dan Wong mengunjurkan bahawa BNM akan mengekalkan kadar itu pada 3.00 peratus dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) September ini berikutan momentum ekonomi yang menyederhana.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2023 @ 10:31 AM