Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd  Yunus ketika sidang media Prestasi Ekonomi Suku Ketiga Tahun 2022. - FOTO NSTP
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus ketika sidang media Prestasi Ekonomi Suku Ketiga Tahun 2022. - FOTO NSTP

Kuala Lumpur: Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan lebih kukuh sebanyak 14.2 peratus pada suku ketiga tahun 2022 (S2 2022: 8.9 peratus).

Walaupun terdapat kesan asas daripada pertumbuhan negatif pada suku ketiga tahun 2021, pertumbuhan

juga didorong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh, disokong oleh keadaan pasaran pekerja dan pendapatan yang bertambah baik serta sokongan dasar yang berterusan.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenyataan berkata, eksport terus disokong oleh permintaan yang

kukuh terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E).

"Pemulihan pelancongan ke dalam negeri memberikan sokongan tambahan kepada kegiatan ekonomi. Mengikut sektor, pertumbuhan terus didorong oleh sektor perkhidmatan dan perkilangan," katanya.

Menurut bank pusat, pada asas suku tahun ke suku tahun terlaras secara bermusim, ekonomi berkembang

sebanyak 1.9 peratus (S2 2022: 3.5 peratus).

Katanya, secara keseluruhan, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 9.3 peratus pada tiga suku pertama tahun 2022.

"Inflasi keseluruhan pada tahun ini mungkin telah mencapai tahap tertingginya iaitu 4.5 peratus pada suku ketiga (S2 2022: 2.8 peratus) manakala inflasi asas terus meningkat kepada 3.7 peratus (S2 2022: 2.5 peratus).

"Seperti yang dijangka, peningkatan inflasi keseluruhan sebahagian besarnya didorong oleh kesan asas daripada diskaun bil elektrik yang dilaksanakan pada suku ketiga tahun 2021, serta peningkatan berterusan dalam inflasi teras dan barangan yang harganya tidak menentu.

"Tekanan inflasi mencerminkan gabungan tekanan kos yang meningkat khususnya untuk barangan berkaitan makanan serta keadaan permintaan yang kukuh," katanya.

Menurut BNM, nilai ringgit menurun sebanyak 4.9 peratus berbanding dolar AS pada suku ketiga tahun 2022 (sejak awal tahun hingga 9 November 2022: -11.2 peratus), sejajar dengan mata wang serantau yang menurun nilai pada purata 5.5 peratus (sejak awal tahun sehingga kini: -9.5 peratus).

"Hal ini mencerminkan dolar AS yang terus kukuh berikutan dasar monetari yang terus diperketat oleh Federal Reserve AS dan aktiviti penghindaran risiko yang lebih tinggi oleh pelabur disebabkan oleh prospek pertumbuhan global yang sederhana.

"Namun, pertumbuhan dalam negeri yang kukuh mengurangkan lagi tekanan luaran terhadap penurunan nilai ringgit.

"Pada masa hadapan, walaupun pasaran kewangan domestik mungkin mengalami risiko volatiliti yang lebih tinggi, limpahan kepada pengantaraan kewangan domestik dijangka dapat dibendung.

"Hal ini disokong oleh kedudukan luaran Malaysia yang kukuh dan permodalan sistem perbankan yang teguh. "Bank Negara Malaysia akan terus memantau perkembangan pasaran dengan rapi serta memastikan bahawa pelarasan kekal teratur untuk menyokong pengantaraan yang berkesan bagi ekonomi," katanya.

Sementara itu, BNM berkata, ekonomi akan terus berkembang meskipun pada kadar yang lebih sederhana pada suku keempat tahun 2022.

"Kadar pertumbuhan yang dijangka lebih perlahan mencerminkan persekitaran global yang lebih mencabar serta ketiadaan kesan asas.

"Bagaimanapun, pertumbuhan bagi seluruh tahun 2022 dijangka kekal kukuh berikutan pertumbuhan yang kukuh pada tiga suku pertama tahun ini.

"Pada masa hadapan, ekonomi Malaysia dijangka berkembang sebanyak 4.0 – 5.0 peratus pada tahun 2023," katanya.

Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Nor Shamsiah berkata, ekonomi Malaysia akan terus disokong oleh

permintaan dalam negeri yang kukuh berikutan pasaran pekerja yang semakin bertambah baik.

"Pertumbuhan juga akan mendapat manfaat daripada pelaksanaan projek infrastruktur besar serta jumlah ketibaan pelancong yang lebih tinggi.

"Bagaimanapun, pertumbuhan Malaysia masih terdedah pada pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, aktiviti penghindaran risiko yang lebih tinggi dalam pasaran kewangan global, konflik geopolitik yang semakin meruncing dan rantaian bekalan yang kembali terganggu," katanya.

Katanya, inflasi keseluruhan dijangka sederhana pada suku keempat tahun 2022, namun kekal tinggi.

"Kesan asas daripada diskaun bil elektrik yang menyumbang kepada inflasi yang lebih tinggi pada suku ketiga akan reda pada suku keempat tahun 2022.

"Secara keseluruhan, inflasi keseluruhan dijangka berpurata pada 3.3 peratus pada tahun 2022.

"Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, dijangka terus tinggi bagi baki tahun 2022 apabila permintaan terus bertambah baik dalam keadaan kos yang tinggi," katanya.

Menurutnya, menjelang tahun 2023, inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka kekal tinggi berikutan tekanan permintaan dan kos, serta sebarang perubahan pada langkah-langkah dasar dalam negeri.

"Kesan tambahan tekanan inflasi menjadi lebih tinggi sebahagiannya akan terus dibendung oleh kawalan harga yang sedia ada, subsidi dan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi.

"Imbangan risiko berhubung dengan prospek inflasi pada tahun 2023 cenderung ke arah inflasi menjadi lebih tinggi dan terus bergantung pada langkah-langkah dasar dalam negeri mengenai subsidi serta perkembangan harga komoditi global yang berpunca terutamanya daripada konflik ketenteraan yang berterusan di Ukraine dan gangguan berkaitan bekalan yang berlarutan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2022 @ 1:15 PM