SHAZURAWATI (dua dari kiri) bertukar dokumen dengan Dr Sharifudin.
SHAZURAWATI (dua dari kiri) bertukar dokumen dengan Dr Sharifudin.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: TM One, cabang perniagaan-ke-perniagaan Telekom Malaysia (TM), menjalin kerjasama strategik dengan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) bagi meningkatkan transformasi digital universiti terbabit dan menambah baik pengalaman pelajar dalam pembelajaran digital.

Kerjasama itu berasaskan tiga teras, penciptaan bersama ekosistem inovasi, pembangunan bakat, perkongsian pandangan mengenai pengajian tinggi dan trend perniagaan dengan matlamat membangunkan Usim menjadi universiti pintar.

Naib Presiden Eksekutif TM One, Shazurawati Abd Karim berkata, paling utama kerjasama ini akan membolehkan pendekatan pembelajaran yang lebih kolaboratif antara fakulti dan pelajar Usim di samping menyelaraskan universiti dengan keperluan pelajar global masa kini.

Katanya, dengan menggunakan rangkaian luas penyelesaiannya, TM One akan menyokong pelan transformasi digital Usim dalam lima kluster berbeza iaitu tadbir urus pintar, infrastruktur pintar, perkhidmatan pintar, pembelajaran pintar dan gaya hidup pintar.

"Kami teruja untuk menjadi sebahagian perjalanan transformasi pintar Usim dan bekerjasama dalam membentuk semula keupayaan digital mereka.

"Universiti kini berada pada titik perubahan kritikal di mana mereka perlu menerima pendigitalan atau berisiko untuk ketinggalan.

"Selaras keperluan IR4.0, transformasi pintar dan inovatif akan membolehkan Usim bersaing bukan sahaja di peringkat tempatan tetapi dalam arena global ekosistem pendidikan tinggi digital masa kini," katanya.

Sementara itu, Naib Canselor Usim, Prof Datuk Dr Sharifudin Md Shaarani berkata, kerjasama itu tepat pada masanya dan akan membolehkan Usim melangkah ke fasa seterusnya dalam memperkasakan pemimpin masa hadapan.

"Melalui kerjasama ini, kami akan dapat memanfaatkan kepakaran penyelesaian luas, perkhidmatan dan pandangan profesional TM One untuk mengukuhkan keupayaan bakat teknologi dan teknologi maklumat (IT) kami sambil memenuhi keperluan pendidikan digital semakin berkembang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2023 @ 7:56 AM