GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Prof Madya Dr Che Azurahanim Che Abdullah

Kedatangan pandemik Covid-19 yang mengejutkan di seluruh dunia merubah sistem pendidikan di seluruh negara.

Malaysia juga tidak terkecuali. Penutupan semua institusi pengajian tinggi bagi mencegah berlakunya penularan wabak Covid-19 meningkatkan keperluan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara digital.

PdP memberikan peluang pengajaran secara kreatif dan inovatif. Pelajar pula dibekalkan dengan pengalaman pembelajaran tambahan di mana pelajar dapat mendalami ilmu menggunakan medium pembelajaran yang lebih interaktif.

Pelbagai usaha dilakukan di peringkat universiti bagi memastikan pembelajaran pelajar tidak terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilakukan.

Usaha untuk memastikan PdP digital berjaya dilaksanakan, ia memerlukan kerjasama dan persefahaman antara pensyarah, pelajar dan pihak universiti.

Ini akan membolehkan berlaku impak yang positif dari aspek pembelajaran dan keberkesanan ilmu yang disampaikan secara maya.

Pensyarah di Universiti Putra Malaysia (UPM) beruntung kerana sebaik sahaja PKP diumumkan pada Mac lalu, Pusat Pembangunan Akademik (CADe) UPM yang diterajui Professor Dr Muta Harah Zakaria menganjurkan secara berterusan sesi perkongsian atas talian.

CADe berperanan dalam memacu pembangunan profesional dan inovasi pegawai akademik dalam pengajaran dan pembelajaran.

Siri webinar berterusan dalam tempoh PKP meningkatkan pengetahuan, kemahiran, kecekapan serta keupayaan pensyarah dalam melaksanakan PdP secara maya.

Amalan gamifikasi dan kuiz digital, pengunaan sosial media Facebook dan Blendspace dalam pembelajaran maya, pembelajaran efektif maya menggunakan Discord dan PearDeck, pelaporan digital serta pembelajaran secara kolaboratif menggunakan Microsoft Teams adalah sebahagian daripada webinar yang dianjurkan CADe UPM.

Perkongsian pakar membantu pensyarah menggunakan pelbagai kaedah pengajaran digital yang lebih interaktif bagi meningkatkan pembabitan pelajar ketika sesi PdP.

Tidak dapat dinafikan pembabitan pelajar secara langsung bagi pembelajaran digital salah satu cabaran utama bagi warga pendidik selain memastikan setiap pelajar mempunyai capaian Internet yang baik.

Ramai pendidik bertungkus-lumus mempelajari pelbagai kaedah dan pendekatan yang membolehkan pelajar terbabit secara aktif dalam sesi pembelajaran secara dalam talian. Pensyarah sedaya upaya berusaha dalam membantu pelajar memahami ilmu yang disampaikan serta mempersiapkan pelajar dalam meningkatkan daya saing dalam menghadapi dunia pembelajaran digital.

Selain menyediakan pembelajaran digital yang lebih interaktif, kebolehan pensyarah dalam mengenal pasti perbezaan gaya belajar pelajar juga menjadi faktor penyumbang dalam meningkatkan pembabitan pelajar ketika sesi PdP.

Dengan meneliti gaya belajar pelajar, ia akan memudahkan pensyarah dalam mereka bentuk penyampaian kursus menggunakan kaedah yang lebih interaktif, efektif dan seterusnya membantu pelajar untuk lebih terbabit dalam sesi pembelajaran digital.

Keperibadian dan gaya belajar pelajar perlu diambil kira bagi memastikan pelajar terbabit secara aktif dalam proses pembelajaran.

Pensyarah perlu memastikan kaedah penyampaian pendekatan yang digunakan merangkumi keseluruhan gaya belajar pelajar.

Terdapat beberapa jenis gaya belajar pelajar antaranya visual, auditori, kinestetik, logikal, solitari dan sosial.

Selain gaya belajar yang perlu diambil kira, pensyarah juga perlu menerapkan pemikiran kritis, kolaboratif, komunikasi dan kreativiti dalam kelas maya yang dijalankan bagi menggalakkan penglibatan pelajar secara aktif dalam pembelajaran secara maya.

Atas dasar prihatin bagi membantu pelajar mencapai ekosistem pembelajaran secara maya yang lebih kondusif dan seimbang, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sudah menawarkan pelbagai bantuan dan inisiatif kepada pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT).

KPT menerusi rundingan kerjasama syarikat telekomunikasi utama negara serta pengeluar peranti dan universiti awam menawarkan pakej pelan data dan komputer riba (peranti) kepada pelajar IPT.

Usaha murni pihak KPT dalam meringankan beban pelajar IPT dalam memastikan aktiviti PdP secara maya dapat dijalankan dengan efektif dan lancar adalah selaras usaha pendigitalan pendidikan tinggi menerusi lonjakan kesembilan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025.

Melihat daripada sudut yang positif, kedatangan pandemik Covid-19 menyebabkan pensyarah berusaha menyediakan modul PdP yang bukan sahaja menarik minat pelajar mendalami ilmu yang dipelajari, tetapi turut menyediakan ruang bagi pelajar menjadi modal insan yang lebih kritis, kreatif dan terbuka serta membina keyakinan pelajar menghadapi dunia luar.

Pelbagai strategi PdP yang inovatif dan kreatif diguna pakai pensyarah mampu menggalakkan pembabitan aktif pelajar dalam pembelajaran.

Dengan adanya capaian Internet yang lebih baik, ia membolehkan pelajar menjalani sesi PdP secara dalam talian secara lebih kondusif. KPT komited untuk memastikan semua pelajar IPT mampu mendapatkan capaian Internet walau di mana mereka berada bagi membantu pembabitan aktif pelajar dalam pembelajaran dan menjayakan aspek ekuiti di mana semua pelajar mendapat hak pendidikan yang setara.

Ini kerana pembabitan aktif pelajar dalam pembelajaran secara maya adalah selari transformasi pendidikan negara yang mahukan sistem pendidikan yang seiring kemajuan zaman serta mampu melahirkan modal insan yang berprestasi tinggi dan bersifat holistik.


Penulis adalah pensyarah kanan di Fakulti Sains & Institut Teknologi Maju (ITMA), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Karyawan Tamu Kementerian Pengajian Tinggi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2020 @ 6:00 AM