Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. FOTO ARKB NSTP
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. FOTO ARKB NSTP
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Malaysia Airports bekerjasama dengan Maxis untuk mengembangkan rangka kerja transformasi digital untuk operasi Smart Airport.

Ini sebahagian daripada inisiatif Airports 4.0. oleh Malaysia Airports yang ingin memanfaatkan Maxis sebagai pengendali telekomunikasi tunggal untuk menguruskan perkhidmatan kesalinghubungannya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata, inisiatif transformasi digital menyeluruh oleh Malaysia Airports ini sudah bermula sejak 2018.

Katanya, sejak itu, pengendali kapal terbang terbabit sudah meningkatkan usaha untuk meletakkan landasan teknologi yang memungkinkan pelaksanaan inisiatif ini.

"5G akan menjadi pemangkin untuk menghubungkan kita dengan peluang perniagaan dan ekonomi baharu.

"Penggunaan 5G akan memperkuat asas untuk membolehkan teknologi baru dan digitalisasi operasi lapangan terbang kami.

"Ini juga membantu dalam mencipta pengalaman perjalanan baharu untuk penumpang.

"Dengan kerjasama ini, kedua pihak akan bersama membuat kes penggunaan dan penyelesaian 5G untuk Smart Travel and Tourism, serta Smart Retail dan Smart Security. Kami berharap perkongsian ini dapat mengubah lapangan terbang kami menjadi Smart Airport," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Maxis akan menguruskan perkhidmatan dan penyelesaian rangkaian WiFi dan 5G di lapangan terbang utama negara, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ia juga akan mengembangkan penyelesaian digital berkemampuan 5G untuk penyewa dan penumpang di lapangan terbang kendalian Malaysia Airports, pada masa hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut berkata, ketersediaan perkhidmatan dan penyelesaian rangkaian 5G di lapangan terbang oleh Maxis akan memudahkan dan meningkatkan transformasi ekosistem digital KLIA (termasuk klia2) dalam semua aspek termasuk kesalinghubungan dan pengembangan penyelesaian pintar.

"Dengan kesalinghubungan terkemuka Maxis, liputan Wi-Fi di kedua-dua terminal di KLIA akan ditingkatkan untuk memberikan pengalaman lapangan terbang lebih baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 September 2021 @ 4:18 PM