Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Hajah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melakukan acara gaulan ‘Yee Sang’ bersama Tan Sri Lim Hock San, Pengerusi Eksekutif LBS dan isteri.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Hajah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melakukan acara gaulan ‘Yee Sang’ bersama Tan Sri Lim Hock San, Pengerusi Eksekutif LBS dan isteri.

Kuala Lumpur: LBS Bina Group Bhd akan terus membina dan menyediakan penyelesaian perumahan berkualiti di samping memenuhi tanggungjawab sosial korporatnya seiring dengan matlamat negara.

Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Lim Hock San berkata, sebagai pemaju perumahan rakyat, pihaknya akan terus komited dan memberi sokongan padu di dalam membentuk perpaduan komuniti.

"Sektor perumahan adalah penting bagi pembangunan ekonomi, sosial dan kemasyarakatan, lebih-lebih lagi, segmen mampu milik yang berkualiti.

"LBS, yang dikenali sebagai pemaju perumahan rakyat, akan terus komited dan memberi sokongan padu di dalam membentuk perpaduan komuniti," katanya pada majlis Makan Malam Tahun Baru Cina LBS Bina 2023 di sini, semalam.

Majlis itu diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Hajah Aminah Maimunah Iskandariah.

Bertemakan 'Muhibah', majlis turut dilengkapkan dengan kehadiran barisan dif kehormat dan kenamaan termasuk Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

"Kesudian Yang di-Pertuan Agong mencemar duli ke Majlis Makan Malam Tahun Baru Cina LBS Bina di Tahun Arnab ini, adalah satu peristiwa penting bagi LBS dan permulaan yang istimewa untuk tahun ini.

"LBS melonjak ke tahap yang luar biasa di Tahun Harimau lalu, memecahkan pelbagai rekod, daripada galeri jualan dengan bilangan rumah pameran contoh terbanyak di Malaysia, dianugerahkan sebagai Syarikat Pengurusan Terbaik Malaysia, hingga memperoleh jualan melebihi sasaran sebanyak RM2 bilion.

"Semua ini tercapai berdasarkan sinergi daripada pasukan LBS, sokongan pihak berkepentingan, dan sudah tentu, kepercayaan pelanggan kami," katanya.

Dengan mengutamakan pembeli rumah, LBS membina dan membentuk landskap negara selama 30 tahun dan terus memenuhi permintaan pasaran bagi rumah berkualiti dan mampu milik.

Kini, dengan simpanan tanah di seluruh Malaysia, LBS terus meraih kejayaan dan kekal kukuh dengan kejayaan perbandaran seperti Bandar Saujana Putra; KITA @ Cybersouth di Dengkil dan LBS Alam Perdana di Bandar Puncak Alam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2023 @ 3:46 PM