Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif MGB, Datuk Richard Lim Lit Chek (depan, kiri) menandatangani bagi pihak MGB, dan Ahli Lembaga SANY Alameriah, Mohammad Bandar M  Alamre (depan kanan). Majlis itu disaksikan oleh Timbalan Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Bandar dan Luar Bandar dan Perumahan bagi Pembekalan Perumahan dan Pembangunan Hartanah, Abdulrahman Al-Taweel; Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Ir Lim Hock San.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif MGB, Datuk Richard Lim Lit Chek (depan, kiri) menandatangani bagi pihak MGB, dan Ahli Lembaga SANY Alameriah, Mohammad Bandar M Alamre (depan kanan). Majlis itu disaksikan oleh Timbalan Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Bandar dan Luar Bandar dan Perumahan bagi Pembekalan Perumahan dan Pembangunan Hartanah, Abdulrahman Al-Taweel; Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Ir Lim Hock San.

Kuala Lumpur: MGB Bhd melalui anak syarikatnya, MGB International for Industry (MGBI) akan mengendalikan kilang konkrit pratuang SANY Alameriah Industrial (SA) yang terletak di Al Lith RD, Bandar Perindustrian ketiga Jeddah, Arab Saudi bagi pengeluaran dan pemasangan produk konkrit pratuang untuk memenuhi kontrak pembekalan dan pemasangan.

Ia susulan pemeteraian perjanjian usaha sama dengan SA, sebuah cawangan kepada SANY Alameriah For Construction Co Ltd (JVA).

Perjanjian kerjasama itu adalah rentetan daripada Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada 13 Januari lalu di Riyadh, Arab Saudi.

Majlis disaksikan oleh Timbalan Menteri Pelaburan Arab Saudi, Ibrahim Youssef Almubarak dan Timbalan Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Bandar dan Luar Bandar dan Perumahan bagi Pembekalan Perumahan dan Pembangunan Hartanah, Abdulrahman Al-Taweel.

SA ialah syarikat usaha sama yang diperbadankan di antara kerajaan Arab Saudi dan SANY, syarikat pengeluar peralatan berat kedua terbesar di dunia, manakala Alameriah ialah pemaju perumahan terkemuka di Arab Saudi.

Pembabitan Alameriah tertumpu dalam bidang pembinaan am, pembangunan hartanah, reka bentuk dan binaan serta penghasilan produk-produk konkrit pratuang.

MGB, penyedia penyelesaian perkhidmatan pembinaan dan pembangunan hartanah yang juga anak syarikat LBS Bina Group Bhd dalam satu kenyataan berkata, kilang di Al Lith itu mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 810,000 meter padu untuk tiga tahun.

"Di bawah terma perjanjian itu, SA komited untuk menyediakan 270,000 meter padu produk konkrit pratuang dalam tempoh tiga tahun, dengan jumlah pesanan minimum sebanyak 90,000 meter padu pada tahun pertama.

"Kadar pasaran semasa untuk produk konkrit pratuang di Arab Saudi adalah di dalam lingkungan 1,800 hingga 2,200 riyal setiap meter padu," katanya.

Menurutnya, ini ialah projek antarabangsa pertama MGB, dengan masa yang tepat bagi syarikat untuk menembusi pasaran pembangunan hartanah dan sektor perumahan di Arab Saudi.

Katanya, kerajaan Arab Saudi telahpun melakukan pembaharuan yang ketara, seperti Program Perumahan Saudi yang diperkenalkan pada tahun 2018, selaras dengan Wawasan Kerajaan 2030, dengan matlamat untuk meningkatkan kebolehcapaian terhadap perumahan mampu milik, berkualiti, selamat di lokasi yang baik bagi meningkatkan pemilikan rumah rakyat kepada 70 peratus menjelang 2030.

"Ini memberikan kelebihan kepada pihak MGB berdasarkan pengalaman mereka membina perumahan mampu milik secara besar-besaran dan berpotensi untuk memperoleh kontrak lain di masa hadapan.

"MGBI yakin untuk memperluaskan sayapnya di rantau ini, sekali gus sedang membuat persiapan bagi memulakan operasi perniagaannya di sana," katanya.

Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, syarikat telah melakukan pelbagai inovasi dan memperhalusi lagi cara pengeluaran produk konkrit pratuang IBS serta berhasrat untuk mengembangkan perniagaan dalam pembinaan dan perniagaan pembuatan konkrit pratuang di peringkat antarabangsa.

"Oleh itu, kami teruja akan perkembangan operasi ke Arab Saudi. Setakat ini, kerjasama kami dengan Kumpulan SANY di Malaysia untuk pembuatan produk konkrit pratuang IBS telah membuahkan hasil dan optimis untuk mengukuhkan usaha sama dengan kerajaan Arab Saudi.

"Kami amat berterima kasih kepada Kumpulan SANY di atas kepercayaan dan keyakinan mereka terhadap syarikat," katanya.

Di Malaysia, MGB menyiapkan lebih daripada 6,000 unit rumah dan tambahan 4,000 unit rumah menggunakan teknologi IBS sejak 2018.

Ini akan menambahkan lagi portfolio sedia ada sebagai pengeluar produk konkrit pratuang IBS yang berpengalaman dan kontraktor utama yang mempunyai kepakaran khusus dalam pembinaan perumahan mampu milik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2023 @ 11:31 AM