LIM Hock San.
LIM Hock San.
Nisaa Iryanie Azhar


Kuala Lumpur: Pemaju perumahan terkemuka, LBS Bina Group Berhad (LBS) mengumumkan kejayaan memuktamadkan Mesyuarat Agung Tahunan ke-23 (AGM) yang berlangsung sepenuhnya secara maya, semalam.

LBS mengumumkan bahawa kesemua 13 resolusi biasa yang dibentang semasa AGM itu diluluskan oleh pemegang sahamnya.

Ia termasuk dividen akhir satu peringkat sebanyak 1.25 sen sesaham (Dividen Akhir) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FYE2022).

Mengambil kira dividen interim pertama LBS dengan 1.20 sen sesaham (Dividen Pertama) yang diumumkan pada 19 April 2023, jumlah dividen LBS untuk FYE2022 adalah sebanyak 2.45 sen sesaham.

Dividen interim pertama dan dividen akhir akan dibayar pada 17 Julai 2023 dan 14 September 2023, masing-masing kepada pemegang saham yang tersenarai di dalam Rekod Pendeposit LBS pada 30 Jun 2023 dan 30 Ogos 2023.

Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Ir Lim Hock San berkata, pihaknya berbesar hati dengan AGM itu apabila semua resolusi diluluskan.

"Kami ingin merakamkan ucapan penghargaan serta terima kasih kepada pemegang saham atas sokongan yang berterusan," katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, beliau berkata, LBS turut menjangka pasaran hartanah akan berkembang dalam trajektori positif, dengan peningkatan permohonan pinjaman di samping pelancaran yang lebih strategik dan terancang pada tahun ini.

"Kami melancarkan projek bernilai RM1.4 bilion dan merancang untuk melancarkan projek dengan nilai anggaran RM2.09 bilion di seluruh Lembah Klang, Johor, Pahang serta Perak.

"Kami akan terus mengekalkan perspektif yang optimis pada pasaran hartanah," katanya lagi.

Katanya lagi, LBS juga akan menggunakan strategi yang betul selaras dengan situasi pasaran semasa dan akan terus konsisten memainkan peranan di dalam memacu pemulihan pasaran hartanah.

"Harapan kami untuk terus meningkatkan nilai pemegang berkepentingan sekali gus berusaha untuk mencapai pertumbuhan perniagaan yang lestari dan membawa LBS ke peringkat yang lebih tinggi untuk mengharungi separuh kedua bagi 2023," katanya.

LBS adalah pemaju perbandaran di peringkat antarabangsa dengan visi untuk membina ruang inspirasi sempurna, sudah meraih pelbagai anugerah menerusi projek pembangunannya.

LBS membina serta membentuk landskap negara selama 30 tahun terus memenuhi permintaan pasaran bagi rumah berkualiti dan mampu milik, dengan mengutamakan pembeli rumah.

MESYUARAT Agung Tahunan ke-23 (AGM) LBS berlangsung sepenuhnya secara maya.
MESYUARAT Agung Tahunan ke-23 (AGM) LBS berlangsung sepenuhnya secara maya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2023 @ 10:39 AM