CIMB laksana langkah tambahan untuk lindungi akaun pelanggan.
CIMB laksana langkah tambahan untuk lindungi akaun pelanggan.

Kuala Lumpur: CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad akan melaksanakan polisi satu peranti berdaftar untuk pengesahan aplikasi CIMB Clicks berkuat kuasa akhir bulan ini.

Ia adalah selaras langkah keselamatan yang dipertingkatkan bagi mengekang penipuan sebagaimana diumumkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Semua pelanggan baharu dan sedia ada yang memuat turun atau menggunakan aplikasi CIMB Clicks hanya boleh mendaftarkan satu peranti sahaja untuk pengesahan SecureTAC.

Malah, hanya satu peranti utama akan dipautkan dengan identiti CIMB Clicks pada satu-satu masa.

Bagi pengguna sedia ada yang kini mempunyai dua peranti berdaftar, Bank juga akan memulakan migrasi ke satu peranti sahaja yang disasarkan selesai menjelang Mac 2023.

CIMB dalam kenyataan berkata, pihaknya sedang mengambil pendekatan berperingkat dalam melaksanakan langkah keselamatan baharu ini untuk memastikan pelanggan mempunyai masa mencukupi untuk menyesuaikan diri.

"Selepas tempoh migrasi ini, Bank akan menyahaktifkan secara automatik peranti yang tidak didaftarkan sebagai peranti utama pada aplikasi CIMB Clicks," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Perbankan Pengguna Kumpulan CIMB, Samir Gupta berkata, CIMB komited untuk memastikan langkah keselamatan terus dipertingkatkan dan diperketatkan untuk

melindungi pelanggan daripada penipuan.

"Pelaksanaan satu peranti berdaftar untuk aplikasi perbankan mudah alih kami mencerminkan komitmen ini.

"Kami faham bahawa langkah ini mungkin memberi kesan kepada sesetengah pelanggan yang secara sah menggunakan lebih daripada satu peranti untuk keperluan perbankan mudah alih mereka melalui CIMB

Clicks.

"Bagaimanapun, kami percaya bahawa ini adalah langkah tepat untuk membantu memastikan dana dan transaksi pelanggan kami kekal selamat," katanya.

Menurutnya, pelanggan diingatkan untuk memuat turun aplikasi CIMB Clicks atau CIMB OCTO yang tulen dari Apple App Store, Google Play Store atau Huawei AppGallery, dan bukan dari pautan atau sumber yang tidak diketahui.

Selain itu, katanya, pelanggan diingatkan untuk sentiasa berwaspada dan menjaga butiran perbankan dalam talian mereka.

"Laporkan sebarang aktiviti atau transaksi luar biasa yang mencurigakan membabitkan akaun bank mereka dengan segera.

"Tukar kata laluan dan laporkan kepada polis untuk memudahkan siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2022 @ 1:11 PM