TENGKU Zafrul
TENGKU Zafrul
Mahanum Abdul Aziz

Kuala Lumpur: Langkah CIMB Group tidak mengenakan yuran bagi aktiviti pemindahan dana antara bank yang dilaksanakan menerusi platform dalam taliannya hanya memberi impak kecil kepada pendapatan bukan faedahnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, langkah itu adalah untuk memacu penggunaan pembayaran digital dan pada masa sama menyokong agenda masyarakat tanpa tunai.

“Langkah ini akan memanfaatkan pengguna kerana ia menjimatkan masa memandangkan tidak perlu ke cawangan atau ATM,” katanya pada sidang media sempena Mesyuarat Agung Tahunan CIMB Group di sini, semalam.

CIMB Group baru-baru ini mengumumkan penawaran pemindahan dana antara bank tanpa fi melalui CIMB Clicks dan aplikasi perbankan mudah alih CIMB EVA kepada pelanggannya tanpa ambil kira jumlah transaksi.

Fi GIRO Antara Bank (IBG) sebanyak 11 sen setiap transaksi dan fi Pemindahan Segera Dana Antara Bank (IBFT) sebanyak 53 sen setiap transaksi akan dikecualikan dengan serta-merta.

Menurutnya, usaha berkenaan bagi menggalakkan lebih ramai pelanggan beralih kepada pembayaran elektronik selain membantu membangunkan ekosistem e-pembayaran Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 April 2018 @ 12:54 AM