FUNDING Societies sedia memberi perkhidmatan kepada lebih banyak PKS berkelayakan kredit dalam mengharungi cabaran mendatang.
FUNDING Societies sedia memberi perkhidmatan kepada lebih banyak PKS berkelayakan kredit dalam mengharungi cabaran mendatang.

BAJET 2023 merangkumi pelbagai bidang dan sektor kritikal yang memberi sokongan terbaik kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk beralih ke fasa endemik.

Ketua Negara Funding Societies Malaysia, Chai Kien Poon berkata, pihaknya menyambut baik Bajet 2023 terutama melalui pemberian pelbagai geran, insentif dan bantuan bukan sahaja akan menyokong PKS untuk teguh bertahan malah terus berdaya saing bagi menghadapi cabaran akan datang.

Katanya, Funding Societies juga akan terus menyokong agenda nasional dengan memberi perkhidmatan kepada lebih banyak PKS berkelayakan kredit, namun kurang mendapat perhatian.

"Bajet ini mempersiap siagakan masa depan PKS sekali gus membolehkan akses modal yang lebih luas dan salah satu insentif paling memberangsang yang diumumkan dalam Bajet 2023 ialah pemberian RM1,000 secara one-off (dengan nilai keseluruhan RM1 bilion) yang akan dimanfaatkan kira-kira sejuta perniagaan PKS berdaftar.

"Antara langkah tambahan lain juga termasuklah pelbagai geran dan peruntukan seperti Skim Reset dan Skim Modal Kerja melalui Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BMPB), peruntukan RM200 juta kepada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) untuk mengendalikan program dan pembiayaan pembangunan keusahawanan, serta suntikan RM9 bilion ke dalam Skim Jaminan Kredit untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP).

"Pembiayaan tambahan RM30 juta yang diperuntukkan kepada Malaysia Co-Investment Fund (MyCIF) untuk pendanaan ramai berasaskan ekuiti (ECF) juga mencerminkan keyakinan kerajaan yang tidak berbelah bahagi dalam pembiayaan digital sebagai penggerak utama bagi segmen perusahaan sosial yang sedang berkembang sekali gus memacu agenda kestabilan negara.

"Funding Societies bertuah kerana dapat bekerjasama dengan Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk mengumpul dana bagi perusahaan sosial yang layak di bawah program MyCIF P2P," katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, beliau berkata, terdapat pengecualian duti setem 100 peratus untuk perjanjian penstrukturan semula pembiayaan atau penjadualan semula sehingga 2024 dan pengurangan cukai pendapatan daripada 17 kepada 15 peratus untuk PKS yang akan membantu mereka mengekalkan atau menambah baik aliran tunai mereka, yang juga nadi kepada semua perniagaan.

"Penyertaan usahawan generasi baharu juga adalah penting untuk pertumbuhan ekonomi. Dengan RM305 juta diperuntukkan untuk menggalakkan lebih banyak penyertaan belia dalam perniagaan, Funding Societies mengalu-alukan pertumbuhan positif ini.

"Begitu juga, berdasarkan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) untuk memperkasakan wanita, RM235 juta yang diperuntukkan untuk pembangunan usahawan wanita akan terus merangsang pertumbuhan PKS yang seimbang di Malaysia," kata kenyataan itu lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2022 @ 7:01 AM