ARIA Putera Ismail
ARIA Putera Ismail

KEPERLUAN jangka masa panjang bagi mengukuhkan struktur modal dan mengurangkan kebergantungan terhadap pembiayaan kini menjadi lebih mendesak apabila banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terpaksa meningkatkan tahap kadar hutang mereka untuk terus kekal beroperasi dan kembali pulih pasca pandemik Covid-19.

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, segmen tertentu PKS tidak dapat memperoleh pembiayaan selanjutnya disebabkan oleh kunci kira-kira dan tahap kadar hutang yang lemah

Oleh itu, katanya, adalah perlu untuk meluaskan pilihan penjanaan dana bagi PKS untuk membolehkan mereka terus memainkan peranan dalam pelaburan, pertumbuhan, inovasi dan peluang pekerjaan.

"SME Bank menyambut baik semua inisiatif yang diumumkan pada pembentangan Bajet 2022 dan kami telah bersedia untuk melaksanakan mandat yang telah diamanahkan iaitu membimbing dan mengembangkan sektor PKS negara," katanya dalam kenyataan.

Seperti yang diumumkan pada pembentangan Bajet 2022 baru-baru ini, usahawan PKS akan berpeluang meningkatkan penyertaan mereka dalam aktiviti pembangunan negara dengan skala lebih besar melalui inisiatif pendanaan ekuiti dan quasi ekuiti dengan dana bernilai RM600 juta yang diterajui SME Bank dengan kerjasama Teraju dan Bank Simpanan Nasional.

Selain itu, SME Bank juga akan memperuntukkan dana bernilai RM200 juta di bawah inisiatif IBS Promotion Fund (IBS 2.0) dan RM100 juta di bawah program Pembiayaan Usahawan Muda (YEF2.0) untuk terus membantu golongan sasaran mengembangkan perniagaan masing-masing serta memastikan mereka tidak ketinggalan dalam era pembangunan semula negara pasca-Covid-19.

Kerjasama itu juga akan menawarkan pelaburan sehingga RM5 juta bagi setiap PKS untuk tempoh sehingga lima tahun.

Menurutnya, IBS 2.0 yang bernilai RM200 juta akan menyaksikan SME Bank menawarkan bantuan kewangan kepada kontraktor yang layak sehingga kategori G7, pengilang dan pemasang dalam industri sistem binaan berindustri (IBS).

"Pembiayaan dalam bentuk keperluan modal kerja; perolehan mesin, peralatan; dan ubah suai kilang dengan jumlah pembiayaan sehingga RM10 juta bagi setiap PKS," katanya.

"Sementara itu, dana sebanyak RM100 juta turut ditawarkan oleh SME Bank di bawah YEF 2.0 yang akan membantu dan menyokong pembangunan PKS yang terdiri dari usahawan muda berumur antara 21 hingga 40 tahun," katanya.

Menurutnya, pembiayaan itu boleh digunakan untuk tujuan keperluan modal kerja dan perolehan aset perniagaan dengan jumlah pembiayaan sehingga RM1 juta pada kadar keuntungan sebanyak 5.0 peratus setahun.

Sejak penubuhannya pada tahun 2005 dan sehingga September 2021, SME Bank telah meluluskan pembiayaan bernilai lebih RM38 bilion kepada 20,543 orang usahawan PKS.

Anak syarikatnya, Centre For Entrepreneur Development And Research Sdn Bhd pula telah menjalankan pelbagai modul latihan dan sesi bimbingan yang membabitkan lebih 62,000 orang peserta.

Produk baharu yang diumumkan pada Bajet 2022 dijangka mula ditawarkan kepada usahawan PKS yang layak pada awal 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 November 2021 @ 6:20 AM