BOOST Biz mencatatkan kemajuan yang baik dengan mencapai hampir 500,000 titik sentuh peniaga di seluruh negara. FOTO Arkib NSTP
BOOST Biz mencatatkan kemajuan yang baik dengan mencapai hampir 500,000 titik sentuh peniaga di seluruh negara. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Georgetown: Boost berjaya membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui lonjakan digital khususnya dalam tempoh pandemik.

Ketua Pegawai Eksekutif Boost Biz, Eric Chong berkata, pandemik Covid-19 banyak mempengaruhi cara perniagaan beroperasi dan yang paling penting, ia telah mempercepat transformasi digital dunia.

"Semasa pandemik, kami melancarkan satu ciri yang dipanggil Boost Payment Link, yang membolehkan peniaga mengutip jumlah pembayaran tertentu daripada pelanggan melalui perkongsian pautan yang boleh dihantar melalui SMS atau aplikasi Whatsapp.

"Kami juga bekerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk membantu peralihan peniaga daripada luar talian kepada dalam talian.

"Pada 2020 hingga 2021, kami menerima kira-kira 45,000 peniaga, terdiri daripada PMKS dan lebih 5,000 daripada jumlah itu adalah peniaga dari Pulau Pinang," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) pada September 2021 supaya peniaga tidak perlu lagi beratur untuk membayar sewa gerai, kompaun tempat letak kenderaan malah mudah untuk membuat pembayaran cukai taksiran kepada MBSP melalui platform ini.

Boost Biz mencatatkan kemajuan yang baik dengan mencapai hampir 500,000 titik sentuh peniaga di seluruh negara, di mana lebih 35,000 titik sentuh itu berada di Pulau Pinang, katanya.

Chong berkata, syarikat juga bekerjasama dengan rakan kongsi besar seperti peruncit Pulau Pinang berusia 62 tahun, Sunshine Wholesale Mart Sdn Bhd, bagi menawarkan penyelesaian pembayaran untuk pembeli di kedai mereka di samping menyelaraskan elaun kakitangan Sunshine.

CEO Sunshine, Cynthia Hwang berkata, kerjasama dengan Boost membolehkan pihaknya membayar pelarasan kos sara hidup (Cola) bulanan kepada kakitangan mereka sebanyak RM250 untuk dibelanjakan di semua cawangan Sunshine melalui aplikasi Boost.

Sebelum ini, pembayaran Cola itu dilakukan secara manual melalui baucar fizikal yang memerlukan kertas kerja tambahan untuk jabatan sumber manusia.

"Kerjasama dengan Boost memberi pengalaman lancar untuk jabatan HR kami," katanya.

Sementara itu, restoran nasi kandar yang terkenal dan tertua di Malaysia, Hameediyah juga menerima pendigitalan dan menikmati manfaatnya dengan menerima Boost.

Pengarah Operasi, Muhammad Riyaaz Syed Ibrahim berkata, beliau melakukan kajian menyeluruh mengenai trend pendigitalan sebaik sahaja ia menjadi fenomena serta cara memastikan perniagaan makanan berusia 115 tahun itu terus berkembang.

"Saya berbincang dengan pengurusan tertinggi mengenai perkara ini dan mengatakan kami tidak boleh meneruskan cara lama pembayaran tunai. Ketika itulah keputusan untuk bekerjasama dengan Boost muncul.

"Boost banyak membantu perniagaan kami, terutama sejak ramai pelanggan kami kini memilih melakukan transaksi tanpa tunai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2022 @ 8:18 AM