KETUA Pegawai Eksekutif Boost Holdings, Sheyantha Abeykoon
KETUA Pegawai Eksekutif Boost Holdings, Sheyantha Abeykoon

BOOST Holdings Sdn Bhd, cabang perniagaan teknologi kewangan (fintech) Axiata Digital memperoleh ekuiti sebanyak 68.75 peratus dalam entiti berlesen Indonesia, PT Creative Mobile Adventure untuk meningkatkan keupayaan penawaran perkhidmatan kewangan digital serantau.

PT Creative Mobile Adventure menjalankan perniagaan pembiayaan model rantaian bekalan syarikat telekomunikasi (telco) di bawah jenama KIMO dan adalah pemegang lesen pembiayaan dana digital rakan setara (peer-to-peer) yang dikeluarkan secara terhad oleh Otoritas Jasa Keuangan, Indonesia.

Pemerolehan ini akan menjana pertumbuhan Boost Holdings dengan lebih pesat serta memperluaskan jangkauan dalam kalangan perusahaan mikro dan kecil yang kurang mendapat kemudahan perkhidmatan kewangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Boost Holdings, Sheyantha Abeykoon berkata, pemerolehan itu adalah sebahagian daripada rancangan perkhidmatan kewangan digital syarikat di rantau ini.

"KIMO berkongsi aspirasi kami dalam memberi sokongan kepada perusahaan mikro melalui perkhidmatan kewangan yang mudah dan pantas dengan mengguna pakai teknologi terkini.

"Tonggak penting ini membolehkan kami meningkatkan operasi secara serantau dengan pantas melalui entiti yang mapan dan mempunyai akses kepada ekosistem pedagang dan peruncit yang lebih besar yang sudah mengenali pembiayaan mikro," katanya dalam kenyataan semalam.

Katanya, Indonesia pasaran yang penting bagi Boost dan setakat ini ia sudah membantu 550,000 perusahaan dan menyalurkan lebih daripada 26,000 pembiayaan sejak 2019 melalui platform rakan kongsi.

Boost Holdings menyediakan rumusan kewangan inklusif serantau untuk segmen yang kurang mendapat perkhidmatan dan disokong oleh pengurusan risiko yang baik dan kekuatan kewangan yang mantap serta dilaksanakan melalui lebih daripada 60 rakan kongsi ekosistem

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Digital dan Pengerusi Boost Holdings, Mohd Khairil Abdullah berkata, transformasi digital sudah dipercepatkan di negara serantau sejak tahun lalu dan ini menjadikan perkhidmatan kewangan digital sudah menjadi satu keperluan dan bukan lagi sebagai pilihan.

"Sejak 2014, Axiata Digital sudah berada dalam posisi untuk membangunkan dan mengembangkan perkhidmatan kewangan digital yang inovatif untuk memberikan nilai nyata kepada pelanggan kami. Pemerolehan KIMO telah memperkuatkan cita-cita kami dalam penyediaan perkhidmatan kewangan digital di rantau ini," katanya.

Berpandukan penelitian terperinci mengenai keperluan kewangan dan perlindungan segmen yang kurang mendapat perhatian, Boost Holdings sudah mengagihkan pembiayaan sebanyak RM207 juta menerusi penyedia perkhidmatan pembiayaan mikro dan insurans mikronya Aspirasi, untuk mengurangkan kebimbangan masalah kewangan 9,176 perusahaan mikro unik pada tahun lalu sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Mei 2021 @ 7:15 AM