Vivek Sood.
Vivek Sood.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Axiata Group Bhd menyasarkan untuk melancarkan bank digitalnya pada separuh kedua tahun ini dengan modal permulaan dianggarkan kira-kira RM100 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusannya, Vivek Sood berkata, bank digital itu juga akan menawarkan produk lain termasuk deposit untuk pemegang akaun semasa dan akaun simpanan (Casa), produk kewangan (kad kredit) serta produk insurans secara berperingkat.

Katanya, produk yang ditawarkan oleh bank digital itu nanti juga akan memberi fokus untuk membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

"Kami yakin dengan segmen bank digital ini dan ia dijangka menyumbang pertumbuhan signifikan terhadap kumpulan dan seperti perniagaan sedia ada kami dalam Boost Credit, ia sudah membantu memberi pinjaman sekitar RM500 juta kepada PMKS.

"Kami juga menyasarkan untuk memperoleh keuntungan dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang melalui bank digital itu nanti," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Axiata, secara maya di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya mempunyai setengah juta pelanggan aktif setiap bulan yang berpotensi menjadi pelanggan bank digital itu.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Axiata, Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan berkata, Axiata akan terus memacu segmen rangkaian kedua 5G untuk mencapai perniagaan yang mampan serta membina keterangkuman digital dan ekosistem yang memperkasakan komuniti.

"Sebagai syarikat induk kepada CelcomDigi, Axiata sentiasa menyokong keputusan dasar kerajaan dan masih banyak perkara perlu diperhalusi bagi memuktamadkan hala tuju terbabit.

"Axiata sentiasa menyokong usaha kerajaan tetapi ketika ini kami masih dalam proses untuk mendapatkan maklumat lengkap dari pihak berkepentingan mengenai perkara ini," katanya.

Menurutnya, Axiata berada di landasan dalam perjalanan transformasi digitalnya dengan berfungsi sebagai platform penciptaan nilai tambah untuk Axiata, sekali gus memupuk pertumbuhan yang saksama sambil mengekalkan kepercayaan dengan pemegang kepentingan sedia ada.

Beliau berkata, pihaknya memulakan perjalanan strategik daripada penyedia perkhidmatan telekomunikasi (Telco) ke syarikat teknologi (TechCo) untuk menjamin pertumbuhan dengan memanfaatkan aset sedia ada di tengah-tengah keperluan perubahan dan jangkaan industri termasuk pihak berkepentingan.

Axiata kembali mencatatkan keuntungan pada suku pertama berakhir 31 Mac 2023, dengan meraih keuntungan bersih RM73.85 juta berbanding kerugian bersih RM42.97 juta dalam tempoh sama setahun lalu.

Hasil bagi tempoh itu melonjak 7.9 peratus kepada RM5.38 bilion daripada RM4.98 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mei 2023 @ 6:10 PM