MDEC setakat ini sudah melaksanakan tujuh misi perniagaan bersama rakan kongsi di Indonesia sejak 2018.
MDEC setakat ini sudah melaksanakan tujuh misi perniagaan bersama rakan kongsi di Indonesia sejak 2018.

PERBADANAN Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menerusi Misi Perniagaan ke Indonesia, baru-baru ini, berpotensi menjana lebih RM100 juta dalam bentuk peluang pelaburan menerusi sektor teknologi digital.

Misi Perniagaan yang berlangsung dari 16 hingga 20 Mei 2022 di Jakarta, adalah kelangsungan daripada program Gateway, Amplify, Investor, Nurture (Gain) di bawah MDEC bertujuan memacu syarikat teknologi tempatan ke peringkat global.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Mahadhir Aziz berkata, Misi Perniagaan itu membolehkan MDEC, syarikat teknologi Malaysia dan agensi lain melakukan tindakan susulan berkenaan peluang yang ditawarkan sebelum penutupan sempadan akibat daripada pandemik Covid-19.

"Indonesia adalah antara rakan teknologi strategik utama Malaysia, berikutan ekonomi digitalnya yang berkembang pantas dan berinovatif. Justeru, menerusi misi ini, kami boleh menerokai potensi projek bersama yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara serta Asean secara keseluruhannya.

"Sebagai contoh, program Gain berjaya memperkukuh kerjasama dan membawa peluang perniagaan, perkongsian idea dan kesedaran dalam kerajaan serta kalangan agensinya, selain turut membantu membangunkan syarikat teknologi Malaysia dan Indonesia bagi mengembangkan capaian, pengalaman serta rangkaian hubungan mereka," kata dalam kenyataan.

Sejak 2018, MDEC sudah melaksanakan tujuh Misi Perniagaan (tiga Misi Pemacuan Eksport dan empat di bawah program Gain Connex) dan berjaya menghubungkan lebih 40 syarikat teknologi Malaysia kepada rakan kongsi di Indonesia dengan jumlah peluang eksport digital bernilai lebih RM370 juta.

Namun, berikutan sekatan perjalanan disebabkan pandemik Covid-19, program pada 2020 hingga 2021 dianjurkan secara dalam talian.

Oleh itu, misi kali ini adalah untuk mengaktifkan semula program fizikal untuk Ekosistem Perniagaan Sokongan di Indonesia.

Semasa Misi Perniagaan kali ini, sebanyak 18 pertemuan diadakan antara kerajaan dan pemegang taruh swasta yang merangkumi perbincangan antara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) Jakarta serta Kementerian Komunikasi dan Teknologi Maklumat Indonesia (Kominfo) dan perbincangan dengan ekosistem keusahawanan Indonesia iaitu Kumpul.

Perkara lain membabitkan perbincangan ialah potensi projek bersama dalam Teknologi Kewangan, Teknologi Pertanian, Keselamatan Siber dan sektor e-Kerajaan khususnya dengan perancangan Indonesia untuk memindahkan ibu negara mereka ke Nusantara di Kalimantan Timur.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2022 @ 7:00 AM