Surina
Surina

PERBADANAN Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) melancarkan kempen #DigitalvsCovid bagi memacu syarikat teknologi tempatan melanjutkan penyelesaian dan perkhidmatan digital masing-masing kepada firma serta pengguna yang terjejas.

Malah, MDEC menerima maklum balas menggalakkan khususnya syarikat di bawah program Pecutan Rangkaian Inovasi Global (Gain) yang merangkumi syarikat pemula niaga serta syarikat pesat berkembang dan diiktiraf kerana inovasi teknologi unik dan kedudukan perniagaan di peringkat tempatan serta luar negara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Surina Shukri berkata, berbanding syarikat besar yang mempunyai pelan luar jangka bagi mengurangkan impak Covid-19, kebanyakan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perusahaan mikro sebaliknya tidak dapat menampung impak pandemik global.

Malah, satu-satunya cara mereka mencatat kemajuan adalah menerusi usaha automasi dan pendigitalan.

“Kami berbangga untuk menyatakan 80 syarikat teknologi menunggu untuk menawarkan perkhidmatan masing-masing dan MDEC menggesa semua usahawan dari segenap industri memanfaatkan tawaran ini,” katanya.

Surina turut berkongsi penghargaannya kerana MDEC hanya memerlukan satu percubaan untuk mengumpulkan syarikat teknologi Malaysia bagi membantu dalam tempoh sukar seperti sekarang.

Malah, menurutnya, banyak syarikat teknologi yang melangkaui syarikat di bawah Gain menyuarakan minat untuk menawarkan perkhidmatan secara percuma sama ada menerusi pemberian diskaun menarik serta kerjasama strategik.

“Banyak PKS terjejas dari segi pergerakan rantaian bekalan, kelewatan proses perniagaan yang memerlukan dokumen, keperluan terhad bagi libat urus pihak berkepentingan, kekangan melaksanakan transaksi bukan tunai selain cabaran menguruskan tenaga kerja yang ramai.

“Bagaimanapun, kami yakin syarikat di bawah program Gain dapat menawarkan bantuan kepada PKS dengan mengatasi beberapa kesukaran terbabit,” katanya.

Surina berkata, ada PKS yang bimbangkan kesejahteraan kakitangan masing-masing mengambil langkah keselamatan dan kesihatan bagi menangani Covid-19 termasuk menyalurkan maklumat secukupnya mengenai pandemik itu.

Katanya, bahagian Peningkatan Pertumbuhan Global MDEC akan terus meneroka lebih banyak penyelesaian penerusan perniagaan berkaitan industri menerusi teknologi digital dan memacu penyertaan serta pertumbuhan dalam ekonomi digital.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2020 @ 7:01 AM