KETUA Pegawai Industri Digital MDEC, Gopi Ganesalingam
KETUA Pegawai Industri Digital MDEC, Gopi Ganesalingam

AGENSI peneraju ekonomi digital, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) melancarkan Geran Pemangkin 4IR (4ICG) untuk menyokong pengembangan syarikat teknologi yang berpusat di Malaysia.

Ketua Pegawai Industri Digital MDEC, Gopi Ganesalingam berkata, 4ICG direka untuk memangkinkan penggunaan dan pembangunan teknologi 4IR menjadi bidang perniagaan utama seperti yang ditetapkan dalam Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR).

"Geran berkenaan akan digunakan untuk penciptaan bersama, penyelesai masalah dan pengkomersialan penyelesaian 4IR sahaja," katanya.

Menurutnya, 4ICG diperkenalkan untuk meningkatkan produktiviti, kualiti produk dan kualiti kehidupan selain memelihara ekologi integriti dalam 10 sektor ekonomi utama dan enam sektor sokongan kepada ekonomi Malaysia seperti ditetapkan dalam Dasar 4IR nasional.

"Kebolehlihatan syarikat teknologi yang berpusat di Malaysia, pertumbuhan pendapatan serta eksport oleh syarikat teknologi 4IR yang berpusat di Malaysia akan dapat dilonjakkan menerusi pemberian geran ini.

"Ia adalah tambahan kepada usaha mencapai matlamat dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia di bawah inisiatif MyDigital, untuk mentransformasikan negara ke arah dipacu digital, negara berpendapatan tinggi dan menjadikan Malaysia sebagai Nadi Digital Asean," katanya dalam kenyataan.

Katanya, sektor utama yang dikenal pasti untuk penerimaan geran ini ialah dagangan borong dan runcit; pengangkutan dan logistik; pelancongan; kewangan dan insurans; kesihatan; pertanian dan pendidikan.

Sektor sokongan pula merangkumi pembinaan; hartanah; perlombongan dan kuari; perkhidmatan maklumat dan komunikasi; kesenian; hiburan serta pentadbiran dan perkhidmatan sokongan.

Menurutnya, penerima tempatan yang berjaya akan diberikan dana sehingga 50 peratus daripada kos projek, tertakluk kepada had siling RM2 juta atau mana lebih rendah.

Syarikat milik asing yang terpilih pula akan diberikan dana sehingga 30 peratus daripada kos projek, tertakluk kepada had siling RM2 juta atau mana lebih rendah.

Katanya, penerima geran juga akan menyertai program Gain MDEC dan menerima manfaat dari segi akses pasaran, padanan perniagaan, kemudahan pembiayaan dan peluang bimbingan selain memperoleh keuntungan daripada peningkatan pendapatan dan eksport, peningkatan kemahiran dan melonjakkan peluang untuk menerima pelaburan.

Gopi berkata, pihaknya menyasarkan sehingga 20 pemohon dengan tempoh pendanaan bagi jangka masa projek sehingga setahun.

Permohonan baharu untuk 4ICG kini dibuka dan mereka yang berminat boleh menyemak kriteria kelayakan dan mendaftar menerusi https://gainmdec.awardsplatform.com/dashboard

Tarikh tutup permohonan pada November dengan proses penilaian dan kelulusan akan dibuat pada Disember.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Oktober 2021 @ 7:10 AM