Klinik kesihatan berhampiran Kampung Baru Rompin yang masih belum siap dan tertangguh sejak lima tahun lalu. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Klinik kesihatan berhampiran Kampung Baru Rompin yang masih belum siap dan tertangguh sejak lima tahun lalu. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Lima tahun tertangguh pembinaannya hingga menyebabkan penduduk ternanti-nanti kemudahan dijanjikan.

Itu yang berlaku apabila klinik kesihatan di kampung Baru Rompin di sini, masih gagal disiapkan dan dibuka kepada orang ramai sejak mula dibina pada 2019.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk L Manickam berkata, klinik itu mula dibina pada 2019 membabitkan kos RM24 juta yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Beliau berkata, mengikut perancangan awal, klinik itu sepatutnya mula beroperasi pada awal 2022 selepas pembinaannya tertangguh akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Klinik itu dibina diatas tanah seluas tiga hektar dengan kemudahan antaranya klinik pergigian, pesakit luar, makmal, unit x-ray selain unit kediaman kepada kakitangan yang berkhidmat di situ," katanya.

"Ketika masih lagi menjadi ADUN Jeram Padang, saya pernah melawat pembinaan klinik berkenaan sekitar Februari 2021. Ketika itu kerja pembinaan sudah mencapai 63 peratus.

"Kegagalan menyiapkan projek ini menyebabkan 20,000 penduduk sekitarnya gagal menerima rawatan di klinik terdekat berikutan mereka terpaksa pergi ke Klinik Kesihatan Bahau yang terletak kira-kira 15 kilometer dari Rompin.

"Saya berharap kerajaan memberi perhatian serius supaya klinik itu disiapkan dengan kadar segera supaya penduduk mendapat manfaatnya," katanya.

Sementara itu ADUN Jeram Padang Datuk Mohd Zaidy Abd Kadir ketika dihubungi berkata, pembinaan klinik itu dijangka siap sepenuhnya pada Jun ini.

Katanya, ketika ini pihak kontraktor sedang mengatasi masalah berkaitan penyambungan elektrik dan mekanikal sebelum boleh diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2024 @ 9:57 AM