SEBAHAGIAN pengguna jalan raya menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) ketika tinjauan di Lebuh Raya Duke. FOTO BERNAMA
SEBAHAGIAN pengguna jalan raya menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) ketika tinjauan di Lebuh Raya Duke. FOTO BERNAMA
Sofyan Rizal Ishak


SEBANYAK 10 lagi plaza tol kendalian PLUS Malaysia Berhad boleh menggunakan transaksi pembayaran melalui teknologi RFID Touch ‘n Go mulai 1 Januari 2020.

Bermula daripada tarikh terbabit, transaksi tol menggunakan RFID Touch ‘n Go akan dibuka kepada semua kenderaan persendirian (Kelas 1) di plaza-plaza tol yang menggunakan sistem terbuka di lebuh raya PLUS.

Plaza tol yang terbabit adalah Jitra (Lebuhraya Utara-Selatan), Lunas (Lebuhraya Butterworth-Kulim), Kubang Semang (Lebuhraya Butterworth-Kulim), Jambatan Pulau Pinang, Mambau (Lebuhraya Seremban-Port Dickson), Lukut (Lebuhraya Seremban-Port Dickson), Kempas (Lebuhraya Utara-Selatan), Perling (Lebuh raya Linkedua), Lima Kedai (Lebuh raya Linkedua) dan Tanjung Kupang (Lebuh raya Linkedua).

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi berkata, mod pembayaran tol sedia ada iaitu melalui kad Touch ‘n Go atau SmartTAG masih lagi diterima seperti biasa di lebuh raya PLUS.

“Sistem RFID Touch ‘n Go yang menggunakan pelekat khas bercip RFID yang ditampal pada kenderaan dan dihubungkan dengan Touch ‘n Go eWallet adalah pilihan mod pembayaran terkini yang memudahkan pelanggan menambah nilai tol secara dalam talian tanpa perlu ke pusat tambah nilai.

“Pada masa sama, lebih banyak pilihan pembayaran sedang dibangunkan sama ada melalui kad debit atau kredit, serta e-dompet lain di mana ia akan membolehkan pelanggan mempunyai lebih banyak pilihan untuk menukar mod pembayaran apabila kemudahan ini tersedia dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, transaksi tol menggunakan RFID di 83 plaza tol sistem tertutup di lebuh raya kendaliannya akan dilaksanakan pada 1 April 2020.

“Plaza tol sistem tertutup adalah sistem di mana kadar tol adalah berdasarkan pada kelas kenderaan dan jarak perjalanan apabila kenderaan terbabit masuk dan keluar dari lebuh raya,” katanya.

Sementara itu, sistem RFID di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (Tambak Johor) hanya boleh digunakan untuk Caj Jalan (tag RFID Vehicle Entry Permit) bagi kenderaan Singapura saja.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Disember 2019 @ 1:50 PM