FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyambut baik usaha melaksanakan penetapan kadar gaji minimum baharu, pada nilai RM1,500 sebulan dalam sektor perladangan.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, sektor perladangan tidak berdepan masalah untuk melaksanakan penetapan kadar gaji minimum yang baharu itu menjelang akhir tahun ini.

Katanya, sebagai contoh bagi industri sawit khususnya, penetapan kadar baharu itu masih berada di bawah paras purata gaji dalam sektor perladangan ketika ini iaitu antara RM2,000 hingga RM2,500 sebulan.

"Saya berpendapat tidak menjadi masalah untuk sektor perladangan mematuhi penetapan kadar gaji minimum baharu. Malah, gaji untuk industri sawit adalah lebih tinggi," katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Nasional 2022 ke-15 di sini, hari ini.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut menggalakkan sektor swasta membuat penetapan gaji minimum RM1,500 bagi membantu pekerja menangani cabaran kos sara hidup, terutamanya bagi pekerja berpendapatan rendah.

Walaupun nilai sebenar kadar baharu belum dimuktamadkan, Kementerian Sumber Manusia menyatakan ia akan berada pada paras sekitar RM1,500 ke bawah.

Kali terakhir gaji minimum dinaikkan adalah pada 1 Februari 2020, dengan kenaikan RM100 daripada RM1,100 ke RM1,200 sebulan, ketika pembentangan Bajet 2020.

Sementara itu, Zuraida berkata, kerajaan dan pihak berkepentingan perlu menyelesaikan isu yang dihadapi peserta industri perladangan dalam rantaian nilai seperti diol monochloropropane tinggi -3 (3-MCPD) dan kekurangan tenaga buruh.

Beliau berkata, kementerian sudah menyediakan pelbagai platform dan mekanisme untuk membolehkan pihak berkepentingan berkongsi idea, pengetahuan dan maklum balas dalam merumus dasar dan garis panduan.

"Kita memerlukan persetujuan untuk bergerak ke hadapan dalam mencapai matlamat serta melindungi industri perladangan negara," katanya.

Menurutnya, KPPK juga akan mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung kenyataan mengatakan lapan daripada 1,000 pekerja sektor perladangan sawit di Malaysia adalah buruh paksa.

"Kita akan adakah pertemuan dengan Suhakam bagi mendapatkan penjelasan berhubung data yang diperoleh ini," katanya.

Baru-baru ini, Pengerusi Suhakam, Tan Sri Othman Hashim mendedahkan lapan daripada 1,000 pekerja industri sawit menjadi buruh paksa termasuk pekerja estet swasta dan kerajaan.

Othman berkata, majoriti mereka yang terbabit dalam buruh paksa adalah individu miskin dan rentan dalam komuniti dan buruh paksa juga adalah satu kesalahan jenayah serta pencabulan hak asasi manusia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2022 @ 1:48 PM